suria

Malaysia Tidak Akan Gagal Bayar Hutang Di Bawah BN - Donald Lim

KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia tidak akan gagal membayar hutang di bawah pengurusan kewangan berhemat Barisan Nasional dan ekonomi memberangsangkan, yang mana ketika ini lebih kukuh berbanding banyak negara maju lain di seluruh dunia, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai.

Beliau berkata ia satu pembohongan terang-terangan dan sikap tidak bertanggungjawab Pakatan Rakyat untuk menyatakan bahawa Malaysia telah diisytiharkan bankrap.

Lim berkata hutang berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia masih berada di sekitar 53 peratus, jauh di bawah negara-negara seperti Eropah, Jepun dan Singapura.

Nisbah hutang berbanding KDNK Malaysia mencecah 53 peratus pada akhir tahun lepas, naik sedikit berbanding 51.8 peratus yang dicatatkan pada 2011, tetapi masih di bawah paras siling hutang yang ditetapkan oleh kerajaan.

Meskipun mengulangi bahawa paras hutang masih boleh diuruskan, Lim berkata kerajaan komited dalam memastikan hutang persekutuan tidak melebihi had 55 peratus yang ditetapkan sebagai satu peraturan fiskal.

"Pembangkang sebenarnya memfitnah Malaysia untuk agenda politik mereka sendiri. Mereka sepatutnya berasa malu dengan perbuatan mereka itu," katanya kepada Bernama, Selasa.

Lim juga berkata pembangkang bersikap amat tidak matang kerana sering melihat semua inisiatif kerajaan dari sudut pandangan negatif.

Beliau berkata kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, telah menyediakan semua jenis penampan pencegahan, untuk melindungi negara daripada terjejas oleh krisis hutang zon Eropah yang masih berlarutan hingga sekarang.

"Langkah-langkah ini perlu dihargai oleh pembangkang. Ini bukan untuk Barisan Nasional, tetapi untuk Malaysia.

"Malaysia juga baru-baru ini disenaraikan di kedudukan ke-12 negara paling mesra perniagaan oleh Bank Dunia. Tetapi mereka (pembangkang) tidak pernah memperkatakan tentang pencapaian ini," katanya.

Kedudukan itu menempatkan Malaysia mengatasi ekonomi-ekonomi seperti Sweden (ke-13), Taiwan (ke-16), Jerman (ke-20), Jepun (ke-24) dan Switzerland (ke-28).

Menurut laporan Bank Dunia itu Malaysia juga berada di senarai pertama dari segi kemudahan mendapatkan kredit.

Ini merupakan kedudukan tertinggi yang dicapai oleh Malaysia sejak Bank Dunia dan International Finance Corporation mula menyusun ranking tahunan itu pada 2005. - BERNAMA

Artikel Lain