Kerajaan Belanja RM350 Juta Setahun Bayar Elaun Sara Hidup Nelayan - Semasa | mStar

Kerajaan Belanja RM350 Juta Setahun Bayar Elaun Sara Hidup Nelayan

ALOR SETAR: Kerajaan membelanjakan lebih RM350 juta setahun bagi membayar elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan kepada kira-kira 55,000 nelayan di seluruh negara.

Pegawai Tugas-tugas Khas Perdana Menteri, Datuk Latt Shariman Abdullah berkata pelbagai insentif lain dan yang terbaru insurans kemalangan diberikan untuk membela golongan itu.

"Segala bantuan ini diberi kerana kerajaan menghargai sumbangan nelayan selain menggalakkan mereka menumpu perhatian kepada profesion dan meningkatkan tangkapan untuk memenuhi keperluan rakyat.

"Kebajikan nelayan akan terus dijaga dan mereka tidak akan dipinggirkan menikmati segala bantuan selagi ekonomi negara makmur," katanya sewaktu berucap menutup Program Membudaya Seni (PMS) peringkat Dewan Undangan Negeri kawasan Kubang Rotan di perkampungan Kota Nelayan Kuala Kedah, dekat sini, malam Ahad.

Program sehari itu dijalankan dengan kerjasama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Kedah serta Komuniti 1Malaysia Parlimen Kuala Kedah.

Antara program dijalankan termasuk sukaneka kanak-kanak, pertandingan futsal dan sepak raga serta gotong royong mengecat dewan orang ramai Kampung Seberang Alor dan membersih kawasan, yang diadakan sejak awal pagi Ahad.

Latt Shariman yang juga ketua Umno bahagian Kuala Kedah mahu masyarakat nelayan mengukuhkan kerjasama dan saling membantu supaya industri perikanan negara berkembang.

Mengenai budaya, beliau berkata seni dan budaya rakyat Malaysia harus dipupuk dan aktivitinya dibimbing agar tidak tenggelam dalam arus perkembangan dan pengaruh budaya asing.

Pada majlis itu, Latt Shariman menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 15 orang ibu tunggal dan warga emas dari kalangan nelayan dan isteri mereka. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

TVET ada potensi besar untuk kerjaya masa depan, ini lepasan SPM perlu tahu untuk jadi graduan ‘terhangat di pasaran’

HEBAT calon-calon SPM tahun 2019 apabila pencapaian mereka lebih baik berbanding tahun sebelumnya.

default image

Covid-19: Seminar Dr Azizan diteruskan secara online, tapi auranya ‘fuhhh’ macam buat dalam dewan besar - “Kami tak nak tangguh kejayaan anda”

PENULARAN wabak Covid-19 semakin meruncing berikutan peningkatan mendadak jumlah kes jangkitan virus itu di Malaysia.

Artikel Lain