suria

Polis Ambil Kenyataan Nenek Dan Ibu Bapa Kanak-Kanak Mangsa Dera

KUALA LUMPUR: Polis merekodkan kenyataan nenek dan kedua ibu bapa kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, yang mati di kediamannya di Semenyih, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Ab Rashid Ab Wahab berkata, polis mengambil keterangan ibu bapa kanak-kanak itu malam Jumaat untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) Akta Kanak-kanak 2001.

"Polis juga mengambil kenyataan ibu mentua bapa kanak-kanak itu hari ini (Sabtu) selain mengambil keterangan dua lagi anggota polis yang tiba ke rumah ibu bapa kanak-kanak pada Khamis lepas selepas menerima aduan mengenai kematiannya," kata Ab Rashid kepada Bernama.

Polis pada Jumaat mengesahkan bedah siasat ke atas kanak-kanak itu, Muhammad Irfan Raiyan Muhammad Shahn adalah mangsa dera berdasarkan hasil bedah siasat itu di Hospital Serdang.

Punca kematian Muhammad Irfan Raiyan adalah akibat terkena benda keras dan pendarahan di kepala selain lebam di bahagian dada, tangan dan kesan rotan di kaki.

Kanak-kanak itu ditemui tidak bernyawa, oleh ibunya, ketika mahu mengejutkan anaknya itu yang tidur, untuk mandi pada Khamis lepas. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain