suria

MAS Akan Mulakan Perkhidmatan A380 Ke Paris Pada 1 Mac

KUALA LUMPUR: Malaysia Airlines (MAS) akan memulakan perkhidmatan Airbus A380 pada Laluan Kuala Lumpur-Parisnya mulai 1 Mac.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, syarikat itu menyatakan ibu negara Perancis itu adalah destinasi Eropah kedua selepas London, di dalam rangkaian laluan jarak jauh syarikat penerbangan itu, yang menggunakan pesawat superjumbo itu.

"Perkhidmatan harian Airbus A380 yang mempunyai 494 tempat duduk ke Paris akan dilancarkan bagi menggantikan operasi pesawat B777 sekarang, yang mempunyai 282 tempat duduk, dengan menambah kapasiti tempat duduk harian sebanyak 75 peratus berkuat kuasa 1 Mac," kata MAS.

Bersempena dengan operasi pesawat A380 itu, MAS menawarkan tambang promosi yang menarik dari sekarang sehingga 11 Februari, yang sah bagi perjalanan dari 1 Mac hingga 30 September.

Perjalanan kelas ekonomi pada pesawat canggih A380 itu kini dikenakan tambang pergi balik yang termasuk kesemua bayaran dari RM2,899, katanya, sambil menyatakan bahawa Kempen Tiket Emas semasa tempoh tawaran itu membolehkan para pelanggan kelas ekonomi peluang dinaikkan kepada kelas perniagaan semasa perjalanan antara 1 Mac dan 30 September.

"Para pemenang Tiket Emas akan dipilih secara rambang melalui nombor tempat duduk pada penerbangan antara Kuala Lumpur dan Paris," kata MAS.

Kesemua tambang pergi balik yang termasuk kesemua bayaran bagi Kelas Perniagaan dari Kuala Lumpur ke Paris bermula mulai harga RM11,969 manakala tambang Kelas Pertama bermula dari RM31,465.

"Dengan menggunakan pesawat A380 untuk terbang ke Paris, MAS berbangga menawarkan tahap baharu keselesaan, kemewahan dan kemudahan kepada para tetamu kami," kata naib Presiden Kanan Jualan dan Pengedaran Duncan Bureau.

Dengan menggunakan pesawat A380 bagi menggantikan pesawat B777-200, MAS juga memperkenalkan perjalanan Kelas Pertama pada laluan ini, kata kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain