suria

Kerajaan Pusat Tidak Pinggirkan Kedah Walaupun Diperintah Pembangkan

ALOR SETAR: Kerajaan persekutuan akan terus melaksana projek untuk kesejahteraan rakyat Kedah bernilai kira-kira RM1 bilion tahun ini, bukti negeri ini tidak dipinggirkan walaupun diperintah pembangkang.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Kedah, Datuk Mohd Johari Baharom berkata selain beberapa projek infrastruktur baharu, projek yang dirancang pada tahun 2012 yang belum siap akan diteruskan.

Katanya 171 daripada 257 projek atau kira-kira 67 peratus bernilai RM920 juta telah disiapkan tahun lepas untuk meletakkan Kedah pada tangga ketiga prestasi keseluruhan peringkat kebangsaan.

"Kerajaan persekutuan memperuntukkan RM1.3 bilion untuk Kedah tahun lepas dan berpuas hati dengan prestasi pelaksanaan projek," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan bulanan jabatan dan agensi kerajaan persekutuan negeri Kedah di Bangunan Persekutuan, Anak Bukit, dekat sini, Khamis.

Lebih 300 ketua jabatan dan agensi atau wakil mereka hadir termasuk Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri (ICU), Datuk Azmi Lateh. Mohd Johari berkata antara projek yang dilaksanakan ialah jalan luar bandar (RM51.7 juta); membina (223 buah rumah) dan membaik pulih rumah rakyat miskin (1,269) (RM21.59 juta); projek tebatan banjir, sekolah dan kemudahan awam.

Beliau berkata empat projek sekolah terbengkalai kerana masalah kontraktor manakala 15 projek lain terlewat daripada jadual.

Semua kontraktor terbabit dipanggil oleh ICU untuk berbincang bagi mengatasi masalah tersebut, katanya yang juga Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Bagi projek keagamaan, Mohd Johari berkata kerajaan persekutuan telah membelanjakan lebih RM80 juta untuk membina, menaik taraf masjid dan surau serta rumah ibadat dan kuil dari 2008 hingga tahun lepas.

Katanya bayaran elaun dan gaji kepada guru-guru mengajar kelas agama, pegawai agama dan masjid meningkat dengan mendadak dari RM49.93 juta pada 2008 menjadi lebih RM183.49 juta tahun lepas.

Berucap sebelum itu, beliau meminta pegawai kerajaan memberi komitmen ikhlas terhadap amanah kerajaan kepada mereka dan memastikan program transformasi nasional dan Wawasan 2020 berjaya.

Mohd Johari mengingatkan semua penjawat awam supaya meningkatkan produktiviti serta daya saing agar rakyat yakin sasaran mencapai taraf negara berpendapatan tinggi pada tahun 2020 tercapai. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain