suria

Jaminan Tiada Himpunan Jalanan 12 Januari Ini - Mat Sabu

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat memberi jaminan tiada himpunan jalanan pada Perhimpunan Kebangkitan Rakyat 12 Januari ini.

Pengerusi Himpunan Kebangkitan Rakyat, Mohamad Sabu berkata perhimpunan tersebut dijangka berjalan dalam keadaan aman setelah mendapat kerjasama yang baik daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Kita telah bermesyuarat dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar dan beliau telah memberi jaminan mengikut Akta Perhimpunan Aman 2011 iaitu polis berperanan menjadi fasilitator.

"Mereka juga meminta agar peserta turut memberi kerjasama yang baik kepada pihak PDRM," katanya ketika ditemui selepas perjumpaan khas dengan Ketua Polis Negara, di sini, Selasa.

Mohamad bersama 11 orang pemimpin Pakatan Rakyat termasuk NGO telah bertemu Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar dan beberapa pegawai tertinggi polis di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

Mohamad berkata, perhimpunan tersebut bakal berlangsung dengan aman mengikut tata tertib.

Sementara itu, Mohamad berkata pihaknya masih belum menerima sebarang maklum balas daripada pihak Stadium Merdeka berhubung lokasi perhimpunan.

Katanya, pihak penganjur akan menunggu keputusannya sehingga petang Rabu.

"Kami akan menunggu jawapan daripada Stadium Merdeka sehingga pukul 1 petang esok, jika tiada jawapan kita akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa induk bagi membincangkan tindakan seterusnya," ujarnya.

Artikel Lain