suria

Kes Madrasah Salihiah Diselesai Secara Baik Luar Mahkamah

ALOR SETAR: Kes Madrasah Salihiah Kanchut di sini diselesaikan secara baik di luar mahkamah setelah pihak plaintif dan defendan mencapai kata sepakat untuk berbuat demikian pada Khamis.

Peguam, Jesvinder Jit Singh berkata anak guamnya yang juga waris pemilik asal tapak Madrasah Salihiah iaitu Jamludin Murad, 58; Fadzil Ishak, 61; Fidel Firaidi Mustafa, 49; dan Fidel Firaidid Mustafa, 49; telah menarik balik kes setelah bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah.

"Defendan bersetuju menyediakan lot baru untuk membina semula surau menggunakan wang pampasan (yang dibayar kepada Maik RM1.43 juta) kira-kira 200 meter daripada tapak asal," katanya kepada pemberita di pekarangan Mahkamah Tinggi Alor Setar, di sini, Khamis.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah, Mansor Ahmad berkata pihaknya akur dengan perintah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang mahu perkara tersebut diselesaikan secara baik di luar mahkamah.

"Kita menghormati segala cadangan dan pandangan baginda bagi selamatkan keadaan supaya tidak jadi lebih serius. Kita berterima kasih sebab cari penyelesaian dan tuanku sebagai ketua agama telah mencari jalan penyelesaian yang baik," katanya.

Mansor berkata tindakan pihaknya mempertahankan madrasah berkenaan sebelum ini bukanlah atas dasar politik sebaliknya demi kepentingan agama.

"Lepas ini kita akan membentuk satu jawatankuasa bersama untuk melantik arkitek dan 'design'... Lepas ini kita akan mohon taraf sementara masjid jamek dan jika ada perkembangan positif mohon jadi masjid," katanya.

Pada 6 Mei tahun lepas, Jamludin, Fadzil, Fidel Firaidid dan Fidel Firaidi, memfailkan injunksi sebagai usaha menghalang bangunan Madrasah Salihiah dirobohkan kerajaan negeri bagi membina pusat beli-belah.

Majlis Agama Islam Kedah (Maik), Pentadbir Tanah Daerah Kota Setar dan kerajaan negeri Kedah, masing-masing dinamakan sebagai defendan pertama, kedua dan ketiga. - BERNAMA

Artikel Lain