suria

Program Jualan Kembali Ke Sekolah Diperluas Ke Seluruh Negara - Ismail Sabri

KUALA LUMPUR: Program Jualan Kembali Ke Sekolah (JKKS)kini diperluas ke seluruh negara bagi memenuhi permintaan masyarakat, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata menerusi program itu, masyarakat berpeluang menikmati diskaun sehingga 50 peratus untuk barangan keperluan sekolah, sekali gus meringankan beban ibu bapa.

Inisiatif itu diperkenal kementerian tahun lepas bagi mengurangkan beban ibu bapa ketika menyediakan kelengkapan sekolah anak-anak, katanya ketika merasmikan JKKS di pusat membeli-belah AEON Wangsa Maju, di sini, Jumaat

Katanya JKKS tahun lepas berjaya menarik lebih 3,000 pengunjung dan meraih keuntungan RM131,147.

Untuk JKKS tahun ini, ada program baharu iaitu perkhidmatan pendaftaran pendidikan awal kanak-kanak Smart Reader Kids yang memiliki 308 cawangan di seluruh negara, katanya.

"Ada promosi yuran jika pendaftaran dibuat di pusat membeli-belah yang menyertai program JKKS," katanya.

Program JKKS yang bermula dari 1 hingga 31 Dis ini melibatkan beberapa pusat membeli-belah dan pasar raya iaitu AEON, Giant, Tesco, Mydin, Econsave, The Store dan Teras Maju. -BERNAMA

Artikel Lain