suria

Perolehan 125 Kerusi Parlimen Hanya Taktik Raih Undi Untuk PR – Syed Ali

PETALING JAYA: Keyakinan Pakatan Rakyat (PR) akan memperoleh 125 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) disifatkan sebagai taktik pembangkang untuk meraih sokongan pengundi, kata Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee.

Beliau berkata, keyakinan itu digambarkan oleh Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam usaha pembangkang untuk menawan Putrajaya.

“Mereka boleh kata akan menang besar dan membentuk kerajaan, tetapi keputusannya terletak di tangan rakyat (pengundi),” katanya dalam satu kenyataan menerusi blognya, umnobahagiancheras.blogspot.com pada Jumaat.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Kit Siang di blognya, blog.limkitsiang.com bahawa PR boleh memenangi 125 kerusi iaitu majoriti tipis untuk membentuk kerajaan, di mana PKR memperoleh 45 kerusi, manakala DAP dan PAS masing-masing 40 kerusi.

Syed Ali mempersoalkan apakah asas yang menjadi penentu bahawa pakatan akan memenangi PRU-13 dan seterusnya membentuk kerajaan.

“Mereka hanya buat kajian berdasarkan fakta tidak tepat, dibelenggu dengan fitnah dan tuduhan terhadap kerajaan BN (Barisan Nasional) khususnya Umno,” dakwanya.

Dalam pada itu, Syed Ali mengakui pilihan raya kali ini amat sengit dan getir tetapi berdasarkan peningkatan sokongan rakyat, BN akan kekal cemerlang malah menguasai majoriti lebih 2/3 di Parlimen.

Sehubungan itu, katanya, seluruh jentera Umno termasuk anggota parti komponen BN perlu bekerja keras memastikan tidak ada ruang untuk pembangkang ‘meracuni’ pemikiran rakyat.

“Jika seluruh tenaga dicurahkan untuk kemantapan dan kemenangan parti, tidak ada sebab BN boleh kalah,” katanya.

Kit Siang menerusi blognya pada Jumaat berkata, adalah lebih mudah bagi Umno atau BN untuk memperoleh kembali majoriti 2/3 dalam PRU-13 berbanding PR untuk menawan Putrajaya.

Penasihat DAP itu berkata, PR mempunyai perjalanan yang lebih jauh untuk mencapai objektif itu kerana ketiga-tiga parti – DAP, PAS dan PKR mesti memenangi sekurang-kurangnya tiga lagi kerusi daripada apa yang diperoleh pada pilihan raya 2008 bagi mendapatkan kemenangani majoriti 112 kerusi pada PRU-13.

“Tetapi untuk menjadi kerajaan persekutuan yang terjamin, berdaya maju dan bertahan lama, PR tidak boleh hanya mendapat majoriti mudah dengan hanya satu kerusi di Parlimen, tetapi perlu memperoleh lebih kemenangan lebih besar dan kukuh dalam PRU-13.

“Ia merupakan sesuatu yang sukar kerana tetapi bukan sesuatu yang mustahil (untuk dilakukan),” kata Kit Siang.

Artikel Lain