suria

Kerajaan Negeri S'gor Digesa Jawab Isu Projek Car

KUALA LUMPUR: Kerajaan negeri Selangor diberi tempoh dua minggu untuk menjawab isu penangguhan projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) bagi penyaluran tenaga elektrik.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Donald Lim Siang Chai berkata penangguhan projek yang melibatkan pemasangan kabel voltan tinggi sepanjang 60 kilometer antara Bukit Tarek di Rawang dan Kampung Chubadak, Sentul itu akan mengakibatkan gangguan bekalan elektrik yang teruk.

Projek CAR adalah antara tindakan susulan bagi mencegah berulangnya kejadian gangguan bekalan elektrik pada 13 Jan 2005 dan ia bertujuan menyalurkan bekalan elektrik dari stesen janakuasa di Perak ke kawasan tengah Semenanjung.

"Sebagai pemimpin berpangkat tinggi saya minta Menteri Besar tolong lakukan sesuatu untuk keperluan rakyat. Jika tidak, saya minta dia berundur dan bagi orang yang lebih layak untuk memerintah.

"Isu air pun tak selesai lagi, timbul pula isu lain," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, Rabu.

Lim berkata kerajaan negeri pernah menjemput beliau membincangkan pembinaan projek CAR, dalam Majlis Tindakan Ekonomi Selangor pada Disember tahun lepas, namun sehingga kini tiada tindakan susulan yang dilakukan.

Beliau berkata kerajaan negeri juga pernah berjanji akan menyelesaikan isu bekalan tenaga elektrik kepada penduduk dalam tempoh 100 hari selepas memenangi pilihan raya umum ke-12, namun setelah lima tahun, projek itu masih lagi tertangguh. BERNAMA

Artikel Lain