suria

Bersih 3.0: Keputusan Bantahan Awal Permohonan 4 Jan Depan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 4 Jan depan untuk memutuskan bantahan awal pendakwaan terhadap permohonan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung perintah larangan perhimpunan di Dataran Merdeka pada 28 April dan 1 Mei lepas.

Hakim Mahamud Abdullah menetapkan tarikh itu selepas mendengar hujah pembelaan yang diketuai peguam Ram Karpal Singh.

Ram berkata bantahan awal pendakwaan adalah bersifat pramatang, dan merit permohonan Anwar harus didengar terlebih dahulu tanpa bantahan.

Pada 7 Nov lepas, pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Hanafiah Zakaria berkata permohonan Anwar adalah permohonan jenayah dan Mahkamah Sesyen tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengetepi atau membatalkan perintah yang dikeluarkan mahkamah lebih rendah (Majistret).

Pada 28 Mei lepas, Anwar memfailkan bantahan terhadap perintah yang dikeluarkan Majistret Zaki Asyraf Zubir, yang melarang sebarang perhimpunan di Dataran Merdeka serta amaran supaya tidak hadir, berada atau mengambil apa-apa bahagian dalam apa-apa perhimpunan, antara 28 April dan 1 Mei 2012.

Beliau mengemukakan permohonan itu atas alasan perintah yang dikeluarkan adalah tidak betul dan tidak sah.

Pada 22 Mei lepas, Anwar, Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali, 48, dan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat Rembau Badrul Hisham Shaharin, 34, didakwa mengambil bahagian dalam protes jalanan yang mencetuskan huru-hara di ibu negara.

Mereka turut berdepan pertuduhan kedua iaitu bersubahat dengan Tangam Raju, Rajesh Kumar Gejinder dan Farhan Ibrahim, dengan menghasut mereka membuka sekatan besi di Jalan Raja, di sini, pada hari sama. Mereka merupakan kumpulan pertama didakwa mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang membawa hukuman denda sehingga RM10,000.

Pada 2 Julai lepas, mereka didakwa dengan pertuduhan ketiga iaitu bersubahat dengan Tangam, Rajesh dan Farhan bersama penyokong 'Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 3.0)' yang melebihi lima orang untuk menentang perintah Mahkamah Majistret bertarikh 26 April, yang melarang perhimpunan diadakan di kawasan Dataran Merdeka dari 28 April hingga 1 Mei lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain