suria

Selangor Cadang Guna RM500 Juta Rizab Untuk Projek Tahun Depan

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor bercadang menggunakan RM300 juta daripada rizab berjumlah RM2.57 bilion bagi melaksanakan projek jambatan ketiga di Bandar Klang, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Katanya, sebanyak RM100 juta lagi diperuntukkan bagi cadangan projek Air Larian di hiliran sungai.

Projek itu adalah untuk mengumpul air yang mengalir dengan jumlah yang banyak ke dalam sungai semasa hujan lebat dengan mengepam air ke dalam kolam takungan atau bekas lombong sebelum dirawat.

"Kerajaan negeri akan menerokai pembangunan Air Larian di hiliran sebagai sumber air terawat di Sungai Selangor, Sungai Langat, dan Sungai Semenyih dengan kaedah yang sesuai dan praktikal," katanya semasa membentangkan belanjawan berimbang kerajaan negeri 2013 berjumlah RM1.63 bilion pada persidangan Dewan Undangan Negeri, Isnin.

Abdul Khalid berkata, RM50 juta lagi daripada wang rizab akan digunakan untuk membaiki dan menaik taraf sistem saliran di Selangor manakala baki RM50 juta lagi digunakan bagi projek pembinaan rumah mampu milik pasang siap yang akan dikendalikan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor.

Mengenai kerugian yang ditanggung oleh Pendidikan Industri Yayasan Selangor Bhd (PIYSB) yang mengendalikan operasi Universiti Selangor (Unisel), beliau berkata, ia berpunca daripada liabiliti jangka panjang yang ditanggung oleh universiti itu.

PIYSB menangggung hutang pinjaman terbitan Bithaman Ajil Islamic Debt Securities (BaIDS) dengan Affin Investment Bank Bhd sebanyak RM150 juta bagi pembinaan kampus Unisel, katanya.

"Hutang ini telah diambil oleh kerajaan negeri dan bayaran balik terbitan BaIDS telah mula dijelaskan pada 2011 dan berakhir 2022," katanya.

Dewan bersambung pada Selasa. - BERNAMA

Artikel Lain