suria

Dua Anggota Sindiket 'Ah Long' Ditahan Di Pelabuhan Klang

Ketua Polis Selangor DCP Datuk Tun Hisan Tun Hamzah (kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor ACP Chong Mun Phing (tengah) menunjukkan barangan bukti yang berjaya dirampas semasa sidang media sindiket pinjaman wang "Ah long" di Ibupejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam. -fotoBERNAMA
Ketua Polis Selangor DCP Datuk Tun Hisan Tun Hamzah (kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor ACP Chong Mun Phing (tengah) menunjukkan barangan bukti yang berjaya dirampas semasa sidang media sindiket pinjaman wang
Ketua Polis Selangor DCP Datuk Tun Hisan Tun Hamzah (kanan) bersama Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor ACP Chong Mun Phing (tengah) menunjukkan barangan bukti yang berjaya dirampas semasa sidang media sindiket pinjaman wang "Ah long" di Ibupejabat Polis Kontinjen Selangor di Shah Alam. -fotoBERNAMA

SHAH ALAM: Polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita dipercayai anggota sindiket 'Ah Long' dalam serbuan di sebuah premis pejabat diJalan Berangan, Pelabuhan Klang dekat sini, Jumaat lepas.

Polis turut merampas 116 keping kad ATM dan 596 dokumen berkaitan aktiviti itu, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor ACP Chong Mun Phing.

Beliau berkata tangkapan ke atas lelaki berumur 53 tahun dan wanita berumur 31 tahun itu dibuat hasil daripada risikan pihaknya.

"Kedua-dua suspek ditangkap pada 2.10 petang di premis pejabat berkenaan dan dalam serbuan itu kami turut merampas 596 dokumen berkaitan aktiviti Ah Long dan sebuah komputer.

"Polis kemudian dibawa ke rumah seorang daripada suspek juga di Pelabuhan Klang, kira-kira 4 petang hari yang sama, dan di sana kami merampas sebanyak 116 keping kad ATM pelbagai bank," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini, Isnin.

Chong berkata siasatan pihaknya mendapati sindiket yang telah beroperasi sejak empat tahun lepas itu mempunyai kira-kira 300 pelanggan terdiri daripada pekerja kilang, pekerja pelabuhan, penjaja dan pemandu teksi.

Beliau berkata sindiket itu juga didapati menawarkan pinjaman antara RM500 hingga ribuan ringgit dengan kadar faedah bayaran balik lapan peratus sebulan.

"Modus operandi sindiket ini ialah peminjam perlu membayar balik hutang melalui bank di mana kad ATM dan PIN mereka diberi kepada Ah Long terbabit. Proses pinjaman juga tidak dibuat secara terbuka tetapi melalui orang tengah," katanya.

Chong berkata pihaknya sedang mengesan peminjam terbabit yang kesemuanya warga tempatan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kes itu disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951 yang memperuntuk hukuman denda minimum RM250,000 dan maksimum RM1 juta serta penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Chong berkata kedua-dua suspek kini direman sehingga esok. - BERNAMA

Artikel Berikut

AGM MCA Lulus 16 Resolusi

Artikel Lain