suria

Azizan Akan Bincang Dengan Penasihat Undang-Undang Negeri Untuk Dengar Perintah Komital

YAN: Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata beliau akan berbincang dengan Penasihat Undang-undang Negeri berhubung kehadirannya di mahkamah di Alor Setar esok bagi mendengar perintah komital.

Perintah tersebut terhadap Azizan sebagai defenden ketiga adalah berkaitan dakwaan menghina mahkamah dalam tempoh perbicaraan kes Madrasah Salihiah di Alor Setar.

Selain Azizan, defenden kedua iaitu Pentadbir Tanah Daerah Kota Setar Zaid Ahmad turut dikenakan perintah komital atas dakwaan sama. Defenden pertama ialah Kerajaan negeri.

"Saya lihat hal ini lebih kepada politik semata-mata dan saya akan pertahankan diri saya dan juga kerajaan negeri," kata Azizan kepada pemberita pada Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Negeri Kedah di sini Isnin.

Bagaimanapun, difahamkan Penasihat Undang-undang Negeri Datuk Anas Ahmad Zakie kini berada di Mekah menunaikan haji.

Perintah komital terhadap Azizan itu dikeluarkan oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Alor Setar, See Mee Chun pada 10 Oktober lalu.

Pada 6 Mei lepas, waris-waris pemilik asal tapak Madrasah Salihiah memfailkan injunksi di Mahkamah Tinggi sebagai usaha menghalang madrasah itu dirobohkan oleh kerajaan Kedah bagi tujuan pembinaan pusat membeli-belah. Plaintif berjaya mendapatkan injunksi sementara. - BERNAMA

Artikel Berikut

AGM MCA Lulus 16 Resolusi

Artikel Lain