suria

Liow Yakin MCA Akan Bangkit Semula Pada PRU-13

KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai percaya parti itu akan bangkit semula pada pilihan raya umum akan datang berdasarkan beberapa transformasi yang dibawa Barisan Nasional (BN).

Berucap pada Perhimpunan Agung Pergerakan Pemuda MCA ke-48 di Wisma MCA di sini, Liow berkata prestasi baik negara selepas pelaksanaan proses peralihan dan transformasi, khususnya sektor ekonomi telah menukar persepsi rakyat, termasuk masyarakat Cina di negara ini untuk kembali menyokong BN.

Katanya komitment kerajaan untuk membawa pembangunan dan kemakmuran ekonomi yang diterapkan dalam Gagasan 1Malaysia juga telah menambah kepada faktor 'feel good' kepada BN dalam menghadapi pilihan raya umum ke-13 tidak lama lagi.

"Rakyat dapat merasai keikhlasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan melihat prestasi negara yang memuaskan dan terus maju. Prestasi kita semakin meningkat, rakyat tentu akan menyokong keikhlasan kita," katanya.

Liow berkata keterbukaan Najib untuk mendekati masyarakat Cina, khususnya melalui laman sosial Facebook 'Ah Jib Gor' menunjukkan komitment Perdana Menteri untuk mendengar dan membantu kaum berkenaan.

Untuk memastikan kemenangan BN pada pilihan raya umum ke-13, Liow berkata semua warga MCA, khususnya Pemuda mesti mempunyai semangat "Pin" iaitu perkataan bahasa Cina bermaksud "berjuang".

Semangat "Pin" menurut Liow penting untuk berdepan dengan situasi "Luan" atau "tidak tenteram" yang ditimbulkan parti pembangkang dan merupakan taktik mereka dalam soal memancing undi.

Katanya parti pembangkang merancang dengan rapi untuk menghakiskan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan BN tanpa mengambil kira kepentingan negara.

"Kita lihat pemimpin pakatan pembangkang semakin terdesak. Mereka tidak kisah lagi dan sengaja memburukkan imej BN yang kononnya rasuah, dan memasang pelbagai perangkap kepada rakyat supaya mereka tertipu.

"Misalnya DAP sanggup menjadi broker utama bagi PAS yang kian lantang mahu menjadikan Malaysia sebagai negara Islam. Dengan hujah-hujah yang mengelirukan, DAP sanggup menipu rakyat bahawa PAS tidak akan merealisasikan undang-undang Islam di Malaysia," katanya.

Pakatan pembangkang pula hanya bertarung dengan matlamat untuk menaikkan Penasihatnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai wira, sedangkan rekodnya sungguh membimbangkan rakyat, kata Liow.

"Rakyat sendiri bijak menilai bahawa kemenangan Anwar tidak akan membawa kemakmuran, malah akan melambatkan pembangunan negara," katanya yang menambah taktik buruk Ketua Pembangkang itu yang sanggup menggadaikan kestabilan negara bukan sahaja mencalar imej tetapi juga merugikan negara.

Liow turut melabelkan Anwar sebagai musuh utama pendidikan Cina kerana selaku Menteri Pelajaran dahulu, Anwar gagal menangani kontroversi isu pendidikan Cina sehingga mengeruhkan suasana politik dan mencetuskan Operasi Lalang pada 1987.

Kontroversi ini bermula daripada tindakan kerajaan menghantar guru besar dan guru penolong kanan yang tidak mempunyai kelayakan bahasa Cina ke sekolah rendah Jenis Kebangsaan Cina (SRJKC), katanya.

Justeru katanya, MCA tidak akan bertoleransi dengan sikap pembangkang yang sering membangkitkan perasaan benci dalam kalangan rakyat terhadap kerajaan BN.

Dalam arena politik seperti itu katanya, peranan Pemuda amat penting dalam mengembalikan sokongan kepada BN, khususnya daripada golongan muda selain memberikan reaksi pantas terhadap isu yang membawa kesan negatif kepada parti.

"Pada saat-saat parti menghadapi cabaran yang besar, Pemuda MCA sepatutnya lebih yakin terhadap harapan parti kita, kerana dengan adanya harapan maka adanya kewujudan dan seterusnya kecerahan," katanya.

Beliau turut mendorong Pemuda MCA mencontohi Ketua Pergerakan itu Datuk Seri Dr Wee Ka Siong agar bijak menggunakan pendekatan media sosial untuk menyalurkan pandangan politik.

Liow dalam ucapannya turut membidas Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang sering mendakwa Perdana Menteri sengaja menangguhkan pilihan raya umum kerana kurang keyakinan diri.

"Pandangan DAP itu tidak ada logiknya. Setiap individu yang waras dan berpengetahuan tentunya faham negara kita mengamalkan demokrasi, pilihan raya umum diadakan dalam lima tahun sekali. Sekarang belum sampai masanya, bagaimana Perdana Menteri boleh dituduh menangguhkan pilihan raya.

"Malahan negeri-negeri yang diperintah oleh parti pembangkang juga belum mengadakan pilihan raya," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain