suria

Kerajaan Tidak Cadang Kenakan Kos Penjara Kepada Banduan

KUALA LUMPIR: Kerajaan tidak bercadang untuk mengenakan peraturan bayaran balik semua kos yang dibelanjakan terhadap seseorang banduan selepas mereka dibebaskan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop sebaliknya berkata, semua kos yang dibelanjakan kerajaan termasuk pendidikan akademik dan kemahiran terhadap banduan merupakan tanggungjawab bagi mendidik kumpulan berkenaan.

"Kita tak bercadang untuk mengenakan peraturan agar banduan-banduan ini membayar balik segala kos yang dibelanjakan oleh kerajaan semasa berada dalam penjara," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Rabu.

Beliau berkata demikan bagi menjawab soalan tambahan Mohd Nor Othman (BN-Hulu Terengganu) yang bertanyakan sama ada kerajaan akan mengenakan bayaran balik kepada banduan bagi mengelakkan berlakunya kes banduan berulang.

Selain itu bagi menjawab soalan tambahan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), Abu Seman berkata kerajaan juga tidak bercadang untuk menghapuskan hukuman mati mandatori yang terdapat dalam undang-undang di negara ini.

Menjawab soalan asal Karpal berhubung jumlah banduan bilik akhir di negara ini, Abu Seman berkata terdapat seramai 930 banduan hukuman mati sedang ditahan di penjara seluruh Malaysia sehingga 31 Ogos lalu.

Menurut Abu Seman, hukuman terhadap kesemua banduan tersebut masih belum dilaksanakan berikutan masih berada di peringkat rayuan sama ada di mahkamah atau lembaga pengampunan negeri.

"Daripada jumlah ini seramai 725 banduan masih dalam proses rayuan di mahkmah dan 205 banduan dalam proses rayuan kepada lembaga pengampunan negeri.

"Berdasarkan rayuan, di bawah Peraturan 114, Peraturan-peraturan Penjara 2000, sejak 2001 sehingga 31 ogos 2012, seramai 41 banduan hukuman mati diberi pengampunan iaitu diringankan kepada hukuman penjara sepanjang hayat (6 orang), hukuman seumur hidup (33), pembebasan awal (1), dan dibebaskan serta merta (1)," katanya.

Artikel Lain