suria

Pengecat Kereta Dipenjara 16 Tahun, 20 Sebatan Kerana Merompak

KUALA LUMPUR: Seorang pengecat kereta dihukum penjara 16 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah terhadap dua pertuduhan merompak sepasang suami-isteri dengan bersenjatakan sebilah parang, empat tahun lepas.

Hakim S.M. Komathy Suppiah menjatuhkan hukuman itu terhadap B. Puvaneswaran, 23, dan memerintahkan dia menjalani hukuman itu berkuatkuasa hari ini. Mahkamah mengenakan hukuman penjara lapan tahun dan 10 sebatan, masing-masing bagi pertuduhan pertama dan kedua dan memerintahkan hukuman itu berjalan secara berasingan. Ketika membuat keputusan itu, Komathy berkata walaupun tertuduh mengaku bersalah atas tuduhan yang dihadapi, mahkamah mengambil kira kesalahan yang dilakukannya adalah serius selain statistik menunjukkan jenayah rompak berkumpulan semakin berleluasa di Kuala Lumpur. Mengikut kedua-dua pertuduhan, Puvaneswaran didakwa bersama tiga lelaki India yang masih bebas melakukan rompakan berkumpulan terhadap wang tunai RM190, dua buah telefon bimbit dan kamera milik suami-isteri itu, masing-masing berumur 27 tahun di Jalan Taman Kuang Gunung, Kepong di sini pada 2.30 pagi, 25 September 2008.

Kedua-kedua kesalahan didakwa mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan.

Terdahulu, Puvaneswaran, yang tidak diwakili peguam, memohon dikenakan bon jaminan berkelakuan baik dengan alasan dia tidak sedar apa yang berlaku ketika itu kerana mendakwa dirinya mabuk. Timbalan Pendakwa Raya Shashita Mohamed Hanifa memohon hukuman berat berbentuk pembalasan dan pengajaran dikenakan terhadap tertuduh kerana cara rompakan yang dilakukan tidak berperikemanusiaan selain tertuduh mempunyai tujuh rekod kesalahan lampau termasuk kes curi.

Sementara itu, mangsa ketika diberi peluang memberi kenyataan sebelum mahkamah menjatuhkan hukuman, memaklumkan isterinya trauma selepas kejadian berlaku dan badannya sering menggigil terutama pada waktu malam. "Saya cuba untuk melupakan peristiwa itu tetapi tidak dapat kerana parut yang ada di kepala mengingatkan saya akan kejadian tersebut. Bayangkan, dua hari sebelum raya, saya disamun dan ditetak dengan parang sehingga menerima empat jahitan di kepala. "Isteri saya pula dirogol di depan mata saya dan gambar kami dirakam oleh penjenayah tersebut," kata lelaki itu sambil menangis teresak-esak. Isterinya, yang turut memberi kenyataan di mahkamah berkata beliau berasa tertekan, malu dan takut akibat kejadian yang berlaku. "Saya trauma untuk keluar rumah selama tiga bulan dan trauma ketika hendak bersama dengan suami. Sebelum ini, saya hanyalah wanita biasa tetapi selepas kejadian, saya memilih untuk memakai hijab bagi menjaga maruah saya," katanya yang hadir ke mahkamah dengan memakai purdah hitam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

481,424 Calon Duduki PMR Esok

Artikel Lain