suria

Satu Perjalanan Yang Panjang Tapi Penting Buat Malaysia

SATU perjalanan yang panjang ke arah perdamaian di selatan Filipina kini mengorak langkah bersama-sama pelbagai isu berat yang masih belum jelas dan mampu menampakkan cahaya di hujung terowong tetapi ia tetap menjadi agenda dan isu yang penting buat Malaysia.

Walaupun bekas-bekas presiden Filipina yang terdahulu mencuba pelbagai cara dan kaedah untuk menjalin perjanjian damai dengan bangsa Moro tanpa menampakkan hasil jangka panjang yang berkesan tetapi Presiden Benigno Aquino mahu isu ini diselesaikan untuk selama-lamanya.

Pada Ahad, beliau mengumumkan pelan untuk mengakhiri pertentangan antara kerajaan pusat dengan Barisan Pembebasan Islam Moro atau Moro Islamic Liberation Front (MILF) dengan Kerajaan Malaysia bertindak sebagai orang tengah atau pendamai.

Adalah difahamkan di bawah pelan ini, 12,000 anggota bersenjata MILF akan meletakkan senjata mereka dan menguggurkan tuntutan kemerdekaan ke atas wilayah Mindanao.

Sebagai balasan, satu kawasan semi autonomi akan diwujudkan untuk masyarakat Islam Mindanao mentadbir urusan harian mereka.

Namun begitu, perlu dinyatakan, ini bukanlah kami pertama kerajaan pusat Filipina cuba mencapai perjanjian damai dengan bangsa Moro.

Percubaan pertama berlaku seawal 1976 iaitu dengan Barisan Kebangsaan Bangsa Moro (MNLF) iaitu badan induk Moro sebelum ia berpecah dan wujudnya MILF.

Selepas bandar Jolo musnah dibakar oleh puak pemisah ini pada tahun 1974, kerajaan Filipina bersetuju untuk mengadakan gencatan senjata dan cuba untuk memberikan kuasa autonomi kepada bangsa Moro tetapi ia berakhir dengan kegagalan selepas pusat enggan memberikan kuasa mentadbir sendiri kepada MNLF di 13 wilayah Mindanao.

Kemudian, apabila Corazon Aquino mengambil alih pemerintahan daripada Ferdinand Marcos pada tahun 1986, beliau cuba untuk membuka pintu rundingan sekali lagi kepada Moro.

Maka tiga tahun selepas itu satu persetujuan dicapai untuk membolehkan MNLF di bawah pimpinan Nur Misuari mentadbir di kawasan berkependudukan majoriti orang Islam yang dinamakan The Autonomous Region in Muslim Mindanao (ARMM).

Perjanjian di bawah pembentukan ARMM ini tidak bertahan lama apabila satu puak serpihan daripada MNLF telah membentuk kumpulan gerila yang dinamakan Abu Sayyaf yang diketuai oleh Abdul Razak JanJalani.

Maka pada tahun 2000, Presiden Joseph Estrada telah membatalkan semua bentuk perjanjian damai dan wilayah autonomi kepada MNLF dan pada masa yang sama mengisytiharkan perang ke atas MILF iaitu satu lagi kumpulan bangsa moro yang berpisah dengan MNLF.

Bagaimanapun pada tahun 2002, rundingan damai diusahakan semula dengan Malaysia menjadi orang tengah untuk menyelesaikan konflik berpanjangan ini. Malangnya Presiden Filipina seterusnya iaitu Gloria Arroyo telah membatalkan rundingan ini setelah mengesyaki MILF berdiri di belakang pengeboman bandar Davao.

Tetapi pada 2004, rundingan diteruskan semula - juga di Malaysia - dan berlarutan sehingga ke tahun 2006 tanpa mencapai sebarang resolusi yang konkrit.

Kemudian pada tahun 2007, bekas pemimpin MNLF, Nur Misuari telah ditahan di Kuala Lumpur dan dihantar ke Manila.

Pada tahun 2010, selepas Presiden Aquino mengambil alih pemerintahan, beliau telah membuka pintu rundingan sekali lagi sepertimana yang pernah dirintis oleh ibunya pada tahun 1986.

Dan semalam, Ahad 7 Oktober kedua-dua belah pihak bersetuju untuk menyelesaikan konflik mereka untuk membentuk perdamaian di Mindanao.

Khabarnya Isnin depan, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri akan berlepas ke Manila untuk menyaksikan perjanjian damai antara Kerajaan Pusat Filipina dengan MILF dilangsungkan.

Malaysia memainkan peranan besar dalam menjadi orang tengah dalam perdamaian ini kerana ia amat penting dan ada kena mengena secara langsung dengan isu keselamatan negara di Sabah.

Perdamaian ini akan memudahkan pihak berkuasa kedua-dua buah negara hanya menumpukan perhatian kepada satu isu sahaja iaitu membanteras kegiatan gerila Abu Sayyaf.

Pembentukan kerajaan autonomi bangsa Mora yang sah akan melemahkan gerakan haram Abu Sayyaf. Dan Malaysia melihat Abu Sayyaf sebagai satu ancaman kepada kedaulatan daerah dan wilayahnya kerana Laut Sulu yang luas boleh menjadi ancaman kepada kesejahteraan ekonomi dan juga kestabilan negara.

Sehingga ke hari ini, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah pemantauan Pasukan Gerakan Bersama - Tentera Darat, Udara dan Laut - meletakkan satu ketumbukan anggota tentera di Pulau Danawan iaitu pulau terakhir milik Malaysia sebelum sempadan Filipina bagi mengawasi pergerakan kumpulan Abu Sayyaf agar tidak mencerobohi perairan atau sempadan negara - sekaligus mengancam keselamatan Malaysia.

Maka sebab itulah perjanjian damai ini penting buat Malaysia.

Kerajaan Filipina meletakkan sasaran 2016 sebagai tarikh akhir pelaksanaan wilayah autonomi ini secara berkekalan dan bukan lagi dibuat atas dasar ad-hoc atau sementara.

Dan Presiden Aquino ingin melihat ini menjadi kenyataan sebelum tempoh perkhidmatannya tamat pada tahun tersebut. Di bawah undang-undang persekutuan Filipina sekarang, seorang presiden hanya dibenarkan berkhidmat selama enam tahun sahaja.

Artikel Lain