suria

PPIM Gesa Bank Negara Bantu Selesai Masalah Muflis Akibat Pinjaman Perumahan

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mahu Bank Negara Malaysia (BNM) supaya segera membantu menyelesaikan masalah pemiutang yang muflis akibat pinjaman perumahan berikutan rumah mereka tidak siap dibina pemaju.

Ketua Setiausaha Kerja persatuan itu, Datuk Nadzim Johan berkata pihaknya menerima kira-kira 100,000 aduan daripada pengguna tahun ini yang sebahagian besarnya melibatkan pinjaman perumahan.

"Kita dapati peminjam terpaksa membayar pinjaman perumahan sedangkan pemaju tidak menyiapkan rumah yang dibeli. Yang menjadi masalah ialah bank tidak mengejar pemaju sebaliknya menekan peminjam," katanya pada sidang media di sini Khamis.

Beliau berkata bank sepatutnya meneliti dalam memberikan pinjaman kepada pemaju dengan memastikan projek perumahan itu benar-benar disiapkan mengikut fasanya.

"Malangnya, bank memberikan pinjaman tanpa memantau persiapan projek itu menyebabkan banyak projek terbengkalai, pemaju lari dan pengguna yang menjadi mangsa," katanya.

Nadzim berkata perkara itu dilihat oleh bank sebagai masalah perundangan sivil tetapi PPIM melihatnya sebagai satu jenayah dan penipuan memandangkan terdapat kira-kira 400,000 rumah terbengkalai di negara ini.

Beliau berkata PPIM telahpun mengambil inisiatif bagi mengatasi masalah itu dengan menghantar surat kepada BNM awal tahun ini untuk menyelesaikan isu tersebut, bagaimanapun jawapan yang diberikan hanyalah meminta PPIM menjadi orang tengah berunding antara bank dan peminjam.

Bagi membincangkan isu itu dengan lebih dalam, PPIM akan mengadakan forum pengguna bertajuk 'Masalah tak pernah selesai, pengguna merana. Tanggungjawab siapa? Sampai Bila?' di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra selama tiga hari mulai 12 Okt ini.

Nadzim berharap BNM dapat menyertai forum tersebut bagi memberi penjelasan kepada pengguna mengenai aspek perbankan di negara ini. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

14 Pati Ditahan Polis Marin

Artikel Lain