suria

SPRM Cadang Modul Integriti Dalam Buku Teks Sekolah

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mencadangkan agar Kementerian Pelajaran memasukkan modul integriti dan pencegahan rasuah ke dalam tiga mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM Datuk Sutinah Sutan berkata cadangan memasukkan modul tersebut ke dalam mata pelajaran Pendidikan Agama, Pendidikan Sivik dan Pendidikan Moral itu telah dihantar ke kementerian pada Jun lepas, malah pihaknya juga telah berbincang dengan Jabatan Kokurikulum kementerian itu berhubung cadangan berkenaan.

"Selain itu, kita juga telah berbincang dengan Institut Pendidikan Guru untuk menubuhkan sekretariat pencegahan rasuah di semua pusat latihan perguruan bagi melatih guru-guru pelatih berkaitan nilai-nilai murni seperi amanah, jujur, ikhlas dan integriti, iaitu antara elemen yang akan dimasukkan dalam modul itu," katanya.

Bercakap pada sidang media selepas merasmikan persidangan Pencegahan Rasuah bersama Pengetua, Guru Besar dan Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah-Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini hari ini, beliau berkata dengan adanya modul itu, peranan pihak sekolah dalam membentuk modal insan yang cemerlang juga akan menjadi lebih berkesan.

Sutinah berkata penekanan nilai-nilai integriti dari bangku sekolah mampu menjadi benteng kukuh dalam menghindarkan pelajar daripada terjebak dalam aktiviti rasuah setelah memasuki alam pekerjaan.

"Dalam membentuk modal insan yang cemerlang pihak sekolah juga mempunyai peranan penting dan sekiranya cadangan ini dilaksanakan, kita yakin pelajar-pelajar akan menjadi lebih berwibawa dan berintegriti apabila bekerja kelak," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain