suria

Pilihan Raya UIA: Kadar Mahasiswa Keluar Mengundi Merosot

PETALING JAYA: Bilangan mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa (UIA) yang keluar membuang undi, sehingga tengahari Selasa didakwa merosot berbanding tempoh yang sama dalam pilihan raya yang diadakan 25 September lepas.

Naib Presiden Gabungan Mahasiswa SeMalaysia (Gamis) Eikhwan Ali berkata, peratusan pelajar keluar mengundi sehingga tamat pengundian pada pukul 5 petang ini dijangka hanya mencecah 50 peratus.

Beliau bagaimanapun berkata keadaan di pusat mengundi di kampus UIA, Gombak pada ketika ini (sehingga pukul 1 tengahari) terus sesak dengan pelajar yang keluar mengundi buat kali kedua.

"Sehingga ke tangahari ini bilangan keluar mengundi merosot berbanding 25 September lepas.

"Jumlah keluar mengundi dijangkakan hanya mencecah 50 peratus sehingga tamat pengundian," katanya menerusi satu khidmat pesanan ringkas (sms) yang dihantar kepada mStar Online, Selasa.

Eikhwan berkata kebanyakan mahasiswa kecewa dan berasa tertipu apabila pihak universiti memutuskan mengadakan pilihan raya sekali lagi setelah sistem 'e-undi' yang digunakan dikatakan mengalami masalah teknikal.

Katanya, faktor tersebut boleh menjejaskan jumlah mahasiswa yang keluar mengundi dalam pilihan raya kali ini ditambah pula istiadat konvokesyen yang sedang berlangsung.

"Ia kesan pilihan raya lepas, mahasiswa rasa tertipu...banyak masa dan tenaga terbuang. Kini (mereka) hanya mahu fokus kepada akademik," katanya.

Selain itu beliau juga mendakwa sehingga Isnin, tiada notis rasmi yang memaklumkan tarikh, masa dan tempat mengundi turut memberi kesan kepada kemerosoton pengundi.

Beliau menambah, tiada buku aturan dan peraturan pilihan raya disediakan khususnya kepada calon dan wakil calon untuk memiliki senarai pemilih.

"Ini menafikan hak calon atau wakil calon untuk memiliki senarai pemilih," katanya.

Beliau berkata sebelum pilihan raya ini diadakan, tiada kempen turun mengundi dibuat sebagai mana yang dibuat sebelum ini.

Pilihan raya UIA memperlihatkan 32 kerusi dipertandingkan, melibatkan 18 kerusi di kampus induk di Gombak, manakala 13 lagi kerusi di kampus di Kuantan.

Seramai 35 calon bertanding di Gombak dan 23 calon di Kuantan.

Sehingga kini hanya calon dari 'Kuliyyah Perubatan' menang tanpa bertanding.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain