suria

Bertanding Di Cameron Highlands Hanya Khabar Angin - Palanivel

TEMERLOH: Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel masih 'merahsiakan' tentang kerusi Parlimen yang akan ditandinginya walaupun banyak cakap-cakap menyatakan bahawa beliau akan bertanding di Cameron Highlands dalam pilihan raya akan datang.

Palanivel, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata beliau tidak mempunyai apa-apa keutamaan dan boleh bertanding di mana-mana apabila ditanya mengenai khabar angin bahawa dia telah memutuskan bertanding untuk kerusi Cameron Highlands.

"Itu semua adalah khabar angin sahaja. Saya hanya pergi atas lawatan kerja. Ia bukan masalah bagi saya untuk bertanding di mana-mana.

"Apa yang lebih penting ialah memenangi sokongan masyarakat India sedikit demi sedikit, hari demi hari," kata Palanivel selepas menghadiri himpunan hari keluarga MIC di Mentakab, di sini, Ahad.

Turut hadir Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah, yang merupakan ahli Parlimen Temerloh.

Palanivel berkata sokongan kaum India untuk Barisan Nasional (BN) telah meningkat kepada lebih 70 peratus di kawasan luar bandar.

"Malah di kawasan bandar, sokongan kini menghampiri 60 peratus. Ini tidak seperti sebelum ini yang mana masyarakat India marah," kata Palanivel, sambil menambah MIC sentiasa bekerja keras sehingga akar umbi untuk mendapatkan semula sokongan.

Mengenai Bajet 2013, beliau berkata peruntukan bagi masyarakat India adalah melebihi bajet yang sedia ada.

"Kita mesti ingat sudah ada bajet yang diperuntukkan bagi kaum India di bawah Kementerian Pelajaran. RM100 juta untuk sekolah Tamil adalah peruntukan tambahan. Kami telah meminta bajet yang cukup banyak dan Perdana Menteri telah memberikan bajet besar untuk masyarakat India," katanya .

Memuji bajet sebagai "berorientasikan rakyat" dan "merangkumi semua kaum", Palanivel berkata kini terdapat jumlah gabungan RM200 juta untuk sekolah Tamil apabila mengambil kira peruntukan RM100 juta yang diberikan tahun lepas.

"Kontrak akan diluluskan khusus untuk kontraktor India untuk mengubahsuai, membaiki dan membina struktur tambahan di sekolah-sekolah Tamil," kata Palanivel.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain