suria

Yang Dipertuan Agong Tiba Untuk Lawatan Negara Ke Jepun

TOKYO: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah tiba di sini Isnin untuk lawatan rasmi selama lima hari ke Jepun.

Pesawat khas yang membawa Seri Paduka mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda pada pukul 4.30 petang waktu tempatan (3.30 petang waktu Malaysia).

Rombongan diraja itu termasuk Tunku Temenggong Kedah Tan Sri Tunku Sallehuddin ibni almarhum Sultan Badlishah, Toh Puan Temenggong Kedah Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff, Tunku Panglima Besar Kedah Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin selaku menteri pengiring.

Ketibaan Seri Paduka berdua disambut Duta Malaysia ke Jepun Datuk Shaharuddin Md Som dan isteri, Datin Norasikin Hashim dan Ketua Protokol Kementerian Hal Ehwal Luar Jepun.

Seri Paduka berdua kemudian diperkenal kepada pegawai-pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Luar Jepun dan pengurusan tertinggi Lapangan Terbang Antarabangsa Haneda serta tembakan meriam 21 das dilepaskan tanda hormat.

Yang di-Pertuan Agong kemudian dibawa ke Istana Tetamu Akasaka, tempat penginapan rasmi untuk kenamaan asing yang melawat negara matahari terbit itu.

Upacara sambutan rasmi akan diadakan pada Rabu di Istana Imperial di sini.

Selepas majlis sambutan rasmi itu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong dijadual berangkat mengunjungi Maharaja Akihito dan Maharani Michiko serta menghadiri majlis santapan negara pada sebelah malam.

Pada Selasa, Yang di-Pertuan Agong dan permaisuri dijadual melawat Skytree Tower, menara telekomunikasi paling tinggi di dunia, di Sumida-ku, di sini.

Tuanku Abdul Halim juga dijadual menghadiri jamuan tengah hari yang dianjurkan Japan Chamber of Commerce and Industry, Japan Business Federation, Japan Association of Corporate Executive, Jetro dan Japan-Malaysia Business Committee.

Sementara itu dalam aturcara berasingan, Tuanku Hajah Haminah, akan menghadiri majlis santapan tengah hari di atas Symphony Tokyo Bay Cruise, di Minato-ku, di sini.

Pada Khamis, Raja Permaisuri Agong dijadual melawat Rumah Anak Yatim Fukuin-Ryo, di Setagaya-ku, di sini.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong akan menerima menghadap Perdana Menteri Jepun Yoshihiko Noda dan isteri Hitomi Noda di Istana Tetamu Akasaka pada sebelah petang.

Selepas itu, Tuanku Abdul Halim dan Tuanku Hajah Haminah dijadual berangkat menemui komuniti rakyat Malaysia di Jepun sempena majlis jamuan makan malam yang diatur Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo.

Jepun, yang merupakan negara Kepulauan di Lautan Pasifik, mempunyai empat pulau yang besar iaitu (mengikut turutan saiz) Honshu, Hokkaido, Kyushu, dan Shikoku, serta banyak pulau-pulau kecil.

Dengan keluasan kira-kira 378,000 kilometer persegi, saiz Jepun adalah lebih kurang sama dengan Jerman, Finland, Vietnam atau Malaysia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain