suria

Isu Air: TPM Sahkan K'jaan Pusat Telah Hantar Respon Kepada S'gor

NANNING (China): Kerajaan Persekutuan telah menghantar surat kepada kerajaan Selangor pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) berhubung isu air yang dibangkitkan termasuk mengenai soal pengambilalihan syarikat konsesi, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang dilantik kabinet untuk menyelesaikan isu air itu berkata, surat yang dihantar semalam itu memberi respon kepada perkara yang dibangkitkan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim termasuk soal pengambilalihan semua syarikat konsesi untuk penstrukturan semula bekalan air.

"Saya jelaskan satu persatu," katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri taklimat mengenai projek Taman Perindustrian Qinzhou di sini Khamis.

Muhyiddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Abdul Khalid yang dilaporkan bahawa kerajaan negeri akan meneruskan langkah menstruktur semula perkhidmatan bekalan airnya jika Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air tidak memberi jawapan terhadap surat yang dihantar mengenai perkara itu dalam tempoh 14 hari daripada tarikh ia dihantar iaitu 14 Sept lepas.

Beliau berkata, Abdul Khalid memohon agar kerajaan persekutuan campur tangan dalam perkara itu.

Namun timbalan perdana menteri menjelaskan ia bukan bidang kuasa kerajaan persekutuan.

"Kerajaan Selangor ada ikatan dan perjanjian dengan semua syarikat konsesi, mereka harus selesaikan cara perundingan atas persetujuan untuk membeli dan menjual," katanya.

Empat syarikat konsesi air di Selangor ialah Syarikat Pengeluar Air Berhad, Konsortium Abbas, Syarikat Bekalan Air Selangor dan Puncak Niaga.

Muhyiddin berkata, proses mengambil alih syarikat-syarikat konsesi itu akan mengambil masa yang lama dan jika gagal diselesaikan, barulah ia dibawa ke peringkat kedua iaitu kerajaan persekutuan bertanggungjawab mengambil alih aset di bawah Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).

Muhyiddin menambah, dalam surat itu juga beliau menjelaskan kepada Abdul Khalid mengenai pentingnya Selangor membantu menyelesaikan isu berkaitan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2).

Beliau berkata, kerajaan negeri itu tidak sepatutnya mengalih pandangan mengenai isu kepentingan menambah bekalan air menjelang 2015 supaya Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya tidak mengalami krisis air yang genting.

"Ini tak boleh dimain-main, dia harus beri persetujuan. Saya tak faham atas dasar apa dia nak minta menteri jawab dan beri keputusan. Yang paling mustahak dia harus jawab dahulu (isu air) kepada rakyat Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya," katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai Pengerusi DAP Perak Datuk Ngeh Koo Ham yang dilapor memohon maaf berhubung kenyataannya mempersoalkan tindakan umat Islam membantah filem 'Innocence of Muslims', Muhyiddin berkata ia tidak berupaya memperbetulkan 'kerosakan' yang ditimbulkannya.

"Dia dah tarik balik tapi kerosakan telah berlaku," ujarnya dan berkata bahawa kenyataan Ngeh itu menggambarkan sikapnya yang tidak sensitif dan tidak menghormati Islam.

"Sepatutnya dia orang Malaysia, katanya parti dia iaitu DAP untuk semua kaum tapi dia tak faham sensitiviti agama kerana hal yang berbangkit itu dekat pada orang Islam.

"Bila ada pihak menghina Islam, patutnya DAP kalau nak berjuang untuk Islam dan Malaysia, dia harus memahami yang perkara ini tidak boleh dipandang ringan," katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat pihak yang mahu membuat demonstrasi kerana marah berikutan kenyataan Ngeh, ia adalah reaksi semula jadi kerana pemimpin DAP itu langsung tidak memberi pertimbangan kepada hati dan perasaan umat Islam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain