suria

Isu Suaram: Saksi, Bukti Akan Dibawa Dalam Laporan Susulan LHDN - JMM

KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Jaringan Melayu Malaysia (JMM) akan membawa bersama saksi dan bukti dokumen berkaitan isu dana asing Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dalam laporan susulan kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Presiden JMM, Azwanddin Hamzah berkata, perkara itu akan diputuskan selepas berbincang dengan Mursyidul Am Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai), Muhammad Zahid Md Arip terlebih dahulu.

“Berdasarkan perbincangan sebelum ini, kita mungkin akan menampilkan bukti saksi yang akan datang bercerita (memberi keterangan). Kita mempunyai tiga saksi dengan bukti dokumen yang berbeza.

“Saksi-saksi bersama dengan saya dan dialah (mereka) yang menyerahkan beberapa dokumen penting berkaitan dengan Suaram,” katanya kepada pemberita di pejabat LHDN cawangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini, Jumaat.

Beliau berkata demikian selepas beberapa NGO termasuk JMM dan Tibai membuat laporan pertama kepada LHDN berhubung dana asing Suaram, yang dikaitkan dengannya iaitu Suara Inisiatif Sdn Bhd (Suara Inisiatif).

Azwanddin berkata, laporan kedua kepada LHDN mengenai Suaram itu akan dibuat selepas tempoh dua minggu bagi enam agensi membuat kajian khas dalam menyiasat isu Suaram dan Suara Inisiatif.

“Kita beri mereka ruang dahulu dan selepas itu kita tengok macam mana. Kalau mereka sudah ada cukup (siasatan), Alhamdulillah. Kalau tak, kita akan bawa saksi (untuk membuat laporan kedua),” katanya.

Enam agensi itu ialah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Bahagian Keselamatan dan Bahagian Perundangan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS).

Isu dana asing Suaram pertama kali mula didedahkan oleh JMM pada 1 Julai lalu dan perkara itu diakui oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Isnin minggu lalu selepas SSM menjalankan siasatan awal.

JMM pada Selasa minggu lalu memberitahu mStar Online bahawa ia mempunyai bukti transaksi dana asing yang melibatkan Suara Inisiatif dan Suaram.

Azwanddin berkata, beliau sudah pun menyerahkan dokumen berkenaan secara tertutup kepada SSM sehari selepas itu.

“Mereka nampaknya sudah begitu serius dan menteri sendiri (Ismail Sabri) mengajak enam agensi untuk berbincang.

“Ia satu tindakan yang proaktif dan ini yang JMM mahu sebenarnya selama ini mahukan kerana JMM di bawah suara rakyat, bukannya suara individu,” katanya.

Menurut Azwanddin, beliau setakat ini berpuas hati dengan tindakan tersebut namun pada masa masih menunggu tindakan yang akan dikenakan terhadap individu-individu terlibat terutama pengarah-pengarah Suaram termasuk mereka yang pernah mengambil wang daripada pertubuhan yang tidak berdaftar itu.

“Selepas pendedahan sebelum ini, saya lihat Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia), Tibai dan beberapa NGO lain termasuk parti Kita (Kesejahteraan Insan Tanah Air) menyambut seruan perjuangan kita menentang Suaram. Nampaknya kita semakin kuat dan besar,” katanya.

Artikel Lain