suria

Senapang Dan Peluru Pengawal Keselamatan Dicuri

SHAH ALAM: Selaras senapang patah dan tiga butir peluru milik seorang pengawal keselamatan didapati hilang selepas pejabat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) cawangan Sungai Buloh dekat sini diceroboh Sabtu lepas.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, ACP Rosli Mohd Isa berkata, kejadian itu disedari selepas pengawal keselamatan berkenaan pulang daripada menunaikan solat kira-kira pukul 6.45 pagi.

"Pengawal keselamatan itu meninggalkan senapangnya di dalam pejabat ketika keluar menunaikan solat pada pukul 5.30 pagi dan selepas pulang semula ke pejabat, dia dapati keadaan di pejabat berselerak dan senapangnya telah hilang," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, di sini Isnin.

Rosli berkata, siasatan mendapati terdapat kesan pecah masuk di tingkap belakang pejabat itu dan suspek dipercayai bertindak sendirian.

Siasatan lanjut juga mendapati tiada barangan lain yang hilang selain senapang dan peluru berkenaan, katanya.

Beliau berkata, rentetan kejadian itu, seramai tiga pengawal keselamatan yang bertugas semasa kejadian termasuk saksi kejadian ditahan reman selama empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan.

Rosli berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan denda. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain