Acu Senjata Api: Pengawal Peribadi Anwar Dibebas Selepas Polis Ambil Keterangan

MELAKA: Polis Melaka telah membebaskan pengawal peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan mengacu senjata api ke arah orang ramai pada majlis anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kampung Baru Rim, Jasin, dekat sini, Sabtu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka ACP Raja Shahrom Raja Abdullah berkata lelaki berusia 37 tahun yang merupakan ketua pengawal peribadi ketua pembangkang itu dibebaskan jam 9 malam semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin di sini.

Beliau berkata lelaki berkenaan ditahan dan disiasat berhubung lima laporan polis mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan ugutan secara jenayah yang boleh menyebabkan kematian atau cedera parah antara jam 3.30 petang dan 4 petang Sabtu.

"Namun dia dibebaskan dengan jaminan polis selepas kami merakam percakapannya dan berpuas hati dengan keterangan yang diberi," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka di sini Ahad.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki tersebut mempunyai lesen senjata api yang sah dan hasil keterangannya mendapati tindakannya itu tidak mengancam sesiapa, sebaliknya hanya menjalankan tugas sebagai pengawal peribadi.

Bagaimanapun, Raja Shahrom berkata polis akan menjalankan siasatan lanjut melalui rakaman video atau gambar yang dirakam orang awam seperti yang dilapor sebuah akhbar tempatan hari ini.

Dalam kejadian jam 3.15 petang semalam, pengawal peribadi yang menaiki kereta jenis Toyota Camry dipercayai berang dan keluar dari kenderaan sebelum mengacukan pistol ekoran sekumpulan lelaki cuba menghalang bas yang dinaiki Anwar untuk ke majlis anjuran PKR.

Marah dengan perbuatan lelaki itu, orang ramai yang berada berhampiran tapak program Jelajah Merdeka Rakyat menyerbu ke arah lelaki tersebut sehingga keadaan kemudian menjadi kecoh.

Raja Shahrom berkata polis turut menyiasat laporan berhubung dakwaan bas yang dinaiki Anwar dan penyokongnya disimbah cat merah serta dilontar beberapa botol air minuman ketika tiba di lokasi kejadian. - BERNAMA

Artikel Lain