suria

Masyarakat Orang Asli Cameron Mahu Devamany Dikekalkan

CAMERON HIGHLANDS: Sejak berita kononnya Presiden MIC, Datuk Seri G. Palanivel akan bertanding di sini pada pilihan raya umum akan datang tersebar luas, inilah buat pertama kalinya masyarakat tempatan muncul untuk menyatakan sokongan mereka agar penyandang jawatan, Datuk S.K.Devamany dikekalkan sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Devamany kini adalah juga timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Tok Batin Pos Titom, Ramli Min Hat, 46, secara terbuka berkata, penduduk kampungnya hanya akan memberikan undi mereka kepada Devamany.

"Masyarakat orang Asli di sini sejak sedia kala adalah terdiri daripada penyokong-penyokong kerajaan...jadi tolong letakkan calon yang kami mahu," ujar beliau.

Sejak berita mengenai Palanivel bakal bertanding di sini, Devamany pula telah disebut-sebut akan diletakkan di Teluk Kemang.

Tok Batin Pos Senderut, Mahathir Yok Tegos, 45, juga telah menyatakan sokongan yang sama ke atas Devamany.

Menurut beliau, Devamany telah berjasa kepada masyarakat sekitar termasuklah meningkatkan mutu jalan utama menuju ke 14 buah kampung sekitar.

Katanya, jumlah masyarakat orang Asli yang berjumlah lebih 4,000 orang di Pos Senderut amat berterima kasih kepada Devamany dan ingin menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepadanya.

Tok Batin Pos Lenjang, Nyatim Teman, 39, juga menyatakan penghargaan mereka kepada Devamany di atas jasanya membawa kemajuan ke atas kampung mereka khususnya dalam memastikan jalan-jalan dipertingkatkan.

Seorang penduduk di Pos Lenjang, Angah Talib, 35, berkata, Pos Titom, Pos Senderut, Pos Lenjang dan Pos Lemoi kesemuanya mempunyai 6,000 lebih pengundi.

"Jadi BN perlu memikirkan siapakah yang patut mereka letakkan sebagai calon dan orang yang telah berkhidmat dengan baik kepada kami ialah Devamany," katanya.

Pada pilihan raya 2008, Devamany berjaya memperolehi majoriti 3,117 undi mengalahkan calon DAP, J. Apalasamy.

Artikel Sebelum

Artikel Lain