suria

Rujuk Tabung Haji Mengenai Syarikat Tawar Pakej Haji

KUALA LUMPUR: Ketika musim haji ini, mereka yang mahu mengerjakan haji diminta supaya terlebih dahulu merujuk kepada Lembaga Tabung Haji (TH) mengenai syarikat atau individu yang telah dilantiknya bagi menawarkan pakej haji.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Ismee Ismail berkata ini kerana sejak akhir-akhir ini banyak berlaku kes penipuan yang dilakukan oleh pihak yang tidak dilantik oleh TH.

"Sindiket penipuan ini sangat licik dengan antara lain menawarkan pakej haji yang lebih murah berbanding yang ditetapkan TH serta peluang mendapat giliran menunaikan haji lebih cepat," katanya pada pemberita pada majlis meraikan Sahabat Korporat TH dan sambutan Aidilfitri di sini, Selasa.

Turut hadir ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Ismee berkata bakal haji boleh menghubungi pusat panggilan TH di talian 03-62071919 untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai syarikat atau individu yang mendakwa sebagai pengelola jemaah haji.

Tahun ini, sebanyak 38 syarikat menjadi rakan Sahabat Korporat TH antaranya ialah Telekom Malaysia Bhd, Yayasan Felda, Chemical Company of Malaysia Bhd dengan nilai sumbangan melebihi RM11.5 juta.

Barangan yang disumbangkan oleh syarikat berkenaan merangkumi wang tunai, set penjagaan diri, multivitamin, beg sandang, sim kad prabayar dan pelbagai lagi kegunaan jemaah haji.

Jamil Khir dalam ucapannya pula berkata TH mengekalkan bayaran haji sebanyak RM9,980 dan akan menanggung kos haji sebanyak RM5,000 untuk setiap jemaah haji tahun ini.

"TH sentiasa menyediakan perkhidmatan terbaik kepada jemaah haji termasuk menyediakan tempat penginapan yang berdekatan Masjidil Haram di Mekah walaupun kos pengurusan haji semakin meningkat pada setiap tahun," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain