suria

Razeek Hussain Dilantik COO DRB-Hicom Yang Baru

KUALA LUMPUR: DRB-HICOM Bhd telah melantik Datuk Mohamed Razeek Md Hussain sebagai Ketua Pegawai Operasi (COO) - Perkhidmatan dan Hartanah, berkuat kuasa 1 September.

Razeek, 54, ahli Institut Kejuruteraan Malaysia, memegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Kejuruteraan Awam dari University of The South Bank, United Kingdom, dan sijil profesional dalam pembangunan pengurusan dari Harvard Business School di Amerika Syarikat.

Syarikat itu berkata Razeek memiliki pengalaman lebih 30 tahun dalam kumpulan pembangunan hartanah. Beliau juga memiliki pengalaman dalam bidang-bidang lain seperti kejuruteraan, pengurusan projek, jualan dan pemasaran dan pengurusan am.

Sebelum menyertai DRB-HICOM, Razeek berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB), jawatan yang dipegang hampir tiga tahun di mana beliau menerajui syarikat itu mencapai kejayaan dalam operasi, kewangan dan penjenamaan, kata DRB-HICOM dalam satu kenyataan.

Pengarah Urusan Kumpulan DRB-HICOM Datuk Seri Mohd Khamil Jamil berkata pelantikan Razeek itu sesuai pada masanya ketika DRB-HICOM bersiap sedia untuk meneruskan pertumbuhan di samping menguruskan pemelbagaian aktiviti perniagaannya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain