suria

Ujian Percubaan AES Berjaya - Kong Cho Ha

KUALA LUMPUR: Percubaan bagi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang baru semasa Hari Raya merupakan satu kejayaan, kata Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha.

“Ia merupakan hasil yang baik. Kamera-kamera beroperasi semasa ujian percubaan tetapi tiada saman yang dikeluarkan,” katanya selepas melancarkan hab bas di Pasar Seni di sini.

Beliau berkata, sistem itu akan dilaksanakan selepas semuanya ditempatkan dan disahkan serta semua kamera dipasang sepenuhnya.

Mengenai Ops Selamat yang berakhir pada Ahad lalu, Kong berkata, pendekatan baru dengan mewujudkan kesedaran berkesan apabila bilangan kemalangan dan kematian menurun berbanding tahun lepas.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar pada Rabu berkata, Ops Selamat menunjukkan kadar kematian dan kemalangan menurun sebanyak lapan peratus bagi tempoh yang sama berbanding tahun lepas.

Mengenai hab bas, Kong berkata, ia akan disepadukan dengan stesen-stesen LRT dan membantu mengurangkan kesesakan trafik di bandar.

Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal berkata, hab bas itu turut dibina di lima koridor utama, iaitu Syed Putra, Jalan Pudu, Jalan Ipoh, Jalan Pahang dan Jalan Ampang termasuk dua koridor kecil di Jalan Raja Muda Abdul Aziz dan Jalan Damansara.

Artikel Lain