suria

Polis Cari Waris Lelaki Ditemui Mati Tersangkut Di Jambatan Kedua Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Polis ingin menghubungi waris kepada seorang lelaki yang ditemui mati terapung dan tersangkut pada tiang ke-26 Jambatan Kedua Pulau Pinang di Batu Maung lewat petang Sabtu.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Supt Hatta Md Zin berkata mayat lelaki berkulit cerah tanpa dokumen pengenalan diri itu ditemui oleh pekerja binaan yang sedang melakukan kerja-kerja memasang cerucuk pada bahagian bawah jambatan berkenaan.

"Kita minta waris terdekat yang kehilangan ahli keluarga hadir menuntut mayat lelaki berkenaan.

Mangsa berusia lingkungan 20-an itu mungkin telah meninggal dunia sejak dua atau tiga hari lepas berdasarkan keadaan mayatnya yang telah berbau dan mereput," katanya ketika dihubungi di sini, Ahad.

Beliau berkata polis masih menjalankan siasatan sama ada terdapat unsur jenayah sehingga menyebabkan kematian lelaki itu.

Hatta berkata mayat mangsa kini berada di Jabatan Forensik Hospital Balik Pulau dan beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian membuat laporan di balai polis berdekatan. - BERNAMA

Artikel Lain