suria

Pengunjung Erat Silaturahim Di Rumah Terbuka PM Di Pekan

PEKAN: Rumah Terbuka Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor sempena Aidilfitri di Taman Tasik Sultan Abu Bakar dekat sini pada Ahad dibanjiri oleh pelbagai bangsa dan segenap lapisan masyarakat.

Dihidangkan dengan pelbagai juadah hari raya termasuk makanan terkenal Pekan seperti puding raja dan opor daging, tetamu juga menerima cenderahati kuih muih raya daripada Najib dan isteri untuk dibawa pulang.

Seorang pengunjung, Ahmad Salleh, 45, dari Sungai Soi, dekat sini berkata kunjungan ke majlis tersebut bukan semata-mata mahu menikmati juadah yang dihidangkan tetapi juga landasan untuk rakyat mengeratkan jalinan ukhwah.

"Apa yang saya nampak di sini orang ramai daripada pelbagai kaum tidak kira jauh atau dekat duduk bersama-sama semeja menikmati juadah yang enak sambil berbual dan berkenalan tanpa mengira latar belakang. Inilah semangat hari raya yang sebenar," katanya.

Seorang lagi pengunjung, Zila Adnan, 35, berkata kunjungannya ke rumah terbuka itu memberi peluang beliau berjumpa dengan pemimpin nombor satu negara dengan lebih dekat.

"Suasana meriah ini juga bukti kepimpinan Najib mampu membawa keamanan dan kemakmuran kepada negara dan sebagai rakyat kita sewajarnya bersyukur dan terus menyokong kepimpinan beliau," katanya yang berasal dari Sungai Buloh, Selangor.

Dalam pada itu, seorang bakal jemaah haji, Sapiah Omar, 56, berkata beliau terharu dengan bantuan yang diberikan untuk ke tanah suci nanti.

"Alhamdulillah, kali pertama berpeluang mengerjakan haji dapat pula sumbangan beg yang sama dengan jemaah dari Pekan. Ini akan memudahkan pergerakan dan mengurangkan risiko terpisah dari kumpulan kami nanti," katanya yang akan ke Mekah bersama suami, Samah Hassan, 67.

Ahamad Mat Jali, 71, dari Lepar, Pekan berkata sumbangan yang diberikan menambahkan rasa syukurnya setelah berpeluang ke Mekah selepas menunggu lebih empat tahun untuk mengerjakan rukun Islam kelima itu.

Setakat 1.30 petang ini kira-kira 100,000 pengunjung hadir ke majlis yang bermula 10 pagi hingga 2 petang ini.

Turut hadir, Tengku Mahkota Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan barisan kepimpinan negeri. - BERNAMA

Artikel Lain