suria

Saya Tidak Gesa Nasha Keluar PAS - Nik Aziz

PETALING JAYA: Selepas dilaporkan mengeluarkan kenyataan 'keras' membabitkan Nasharudin Mat Isa, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada Khamis menafikan beliau menggesa bekas Timbalan Presiden PAS itu keluar daripada parti.

Mursyidul Am PAS itu sebaliknya menyalahkan media dan mendakwa menyiarkan berita salah mengenai kenyataannya berhubung kontroversi yang dicetuskan Nasharudin apabila menggesa parti itu keluar pakatan pembangkang berikutan pendirian DAP dalam isu hudud.

"Saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan menggesa sesiapa keluar daripada parti seperti yang dilaporkan oleh portal-portal tertentu.

"Soal keluar parti bergantung kepada individu itu sendiri atau keputusan PAS Pusat," katanya yang dipetik daripada laman sosial Facebook.

Selain itu Nik Abdul Aziz berkata beliau enggan mengulas lanjut mengenai gambar Nasharuddin seperti yang disiarkan media apabila menyertai Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam pertemuan dengan tokoh-tokoh ulama sempena Persidangan Luar Biasa Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) yang berlangsung di Arab Saudi.

"Dalam hal kontroversi yang melibatkan pemimpin PAS yang dikatakan bersama-sama pemimpin Umno di Mekah, saya tidak mahu membuat apa-apa komen.

"Pada saya, sikap saya sudah jelas dan semua pihak sudah memahaminya," kata beliau tanpa menjelaskan mengenai sikap sebenarnya berhubung isu tersebut.

Penjelasan Nik Abdul Aziz itu dibuat selepas media hari ini melaporkan beliau mengeluarkan kenyataan bahawa tidak hairan jika Nasharudin keluar daripada PAS setelah Ahli Parlimen Bachok itu dilihat bersama Najib di Mekah baru-baru ini.

Nik Abdul Aziz juga dilaporkan berkata adalah lebih baik bagi Nasharudin meninggalkan PAS daripada menimbulkan masalah kepada parti.

Sebelum itu gesaan Nasharudin yang meminta PAS menyatakan pendirian tegas berhubung penghinaan Pengerusi DAP, Karpal Sigh dalam isu hukum hudud disambut dengan perasaan marah pemimpin PAS.

Malah Nasharuddin sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi dalam PAS ekoran menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan Umno-PAS sehingga menimbulkan rasa kurang senang kepada Nik Abdul Aziz.

Artikel Lain