suria

Polis Jejaki Lelaki Bantu Siasatan Kes Bakar Gadis

KUALA LUMPUR: Polis memburu seorang lelaki bagi membantu siasatan kes gadis berusia 16 tahun disimbah petrol dan dibakar, dalam kejadian berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wangsa Sari, di sini, Isnin.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh meminta mereka yang mengenali atau mempunyai maklumat mengenai Mohd Amir Mohd Anuar, beralamat di No 16, Blok Q, Pangsapuri Taman Keramat agar menghubungi balai polis berdekatan.

Mengulas kejadian 3 pagi di kawasan semak berhampiran PPR itu kepada pemberita hari ini, Mohmad berkata gadis terbabit dipercayai dibakar oleh teman lelakinya yang berusia 18 tahun.

Bahagian badan termasuk muka remaja terbabit terbakar 25 peratus dan dia kini berada dalam keadaan koma di Hospital Kuala Lumpur, katanya.

Mohmad berkata polis masih menyiasat motif kejadian namun tidak menolak berpunca daripada perasaan cemburu.

"...kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh," katanya.

Selain itu, Polis Kuala Lumpur juga sedang menjejaki Zulkarnain Othman, 36, beralamat di K-09-10, Desa Rejang, Persiaran Rejang, Setapak Jaya berhubung kes bunuh warga Myanmar pada malam Sabtu lepas.

Mangsa ditemui dengan kesan kelar pada leher berhampiran kafe siber di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, dipercayai diserang dari arah belakang menggunakan pisau pemotong kertas, kata Mohmad. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Kota Mula Balik Raya

Artikel Lain