suria

Pemilihan Calon Pemuda Bersih, Bebas Skandal

ALOR SETAR: Pemilihan calon daripada Pergerakan Pemuda Umno di setiap negeri merupakan calon yang bersih dan bebas daripada perkara yang boleh dijadikan isu pada pilihan raya umum (PRU) ke-13 akan datang.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata pihaknya melakukan siasatan terperinci terhadap calon yang disenaraikan sebelum menyerahkannya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya tak sandarkan kepada laporan yang diterima semata-mata malah turut mendapatkan laporan daripada pelbagai sumber lain menyenaraikan nama calon terpilih," katanya selepas menyampaikan bantuan Aidilfitri kepada 200 penerima di Masjid Rafeah, Taman Uda di sini, Jumaat.

Beliau yang juga anggota Parlimen Rembau berkata pihaknya hanya menunggu pengumuman daripada Perdana Menteri terhadap nama-nama calon yang dicadangkan untuk bertanding pada PRU akan datang.

Katanya beliau yakin setakat ini calon yang dicadangkan kepada Perdana Menteri adalah calon yang berwibawa dan calon boleh menang pada PRU kali ini.

Khairy berkata selain itu Pemuda Umno juga mahu mengekalkan jumlah calon Pemuda seperti PRU 2008 iaitu sekurang-kurangnya 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen.

Selain bantuan kepada warga miskin Khairy juga turut menyertai program Khatam al-Quran bersama lebih 20 pelajar tahfiz sekitar daerah ini anjuran Pemuda Umno Malaysia dan Kedah.

Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah dan Ketua Pemuda Umno Kedah Badrol Hisham Hashim. BERNAMA

Artikel Lain