suria

PAS Gesa Majlis Fatwa Segera Keluar Hukum Sokong DAP

PETALING JAYA: Majlis Fatwa Kebangsaan digesa mengeluarkan fatwa segera berhubung hukum menyokong parti DAP yang didakwa menolak penubuhan negara Islam dan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, badan itu perlu memberikan respons segera mengenai isu ini bagi mengelakkan timbul kekeliruan di kalangan masyarakat khususnya mereka yang beragama Islam.

"Isu ini telah menjadi tajuk utama di surat khabar. Majlis Fatwa tak boleh berdiam diri sebab ia sudah jadi polemik dalam masyarakat.

"Mereka (tokoh agama) menyebut tentang hukum haram sokong DAP. Rakyat sekarang menunggu kata putus Majlis Fatwa," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Tuan Ibrahim berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengasas Pondok Genting, Tumpat, Abdullah Sa'amah dan beberapa tokoh agama yang sebelum ini mengeluarkan hukum haram dan berdosa bagi umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan tidak menerima pemerintahan Islam.

Kenyataan itu turut menegaskan umat Islam tidak boleh menyokong mana-mana pihak yang berkerjasama dengan DAP yang akhirnya boleh membawa kemenangan kepada parti tersebut.

Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata, PAS tidak akan berganjak daripada prinsip dan perjuangan menjadikan negara ini sebagai negara Islam hanya kerana perselisihan pendapat dengan DAP yang turut bersama-sama dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pakatan Rakyat (PR).

Sambil menganggap kenyataan tentang hukum berdosa menyokong DAP sebagai 'tidak bersifat ilmiah', beliau berkata pelaksanaan perlembagaan Islam dan hukum hudud yang disaran oleh PAS tidak hanya mendapat tentangan DAP tetapi juga daripada golongan lain termasuklah MCA dan MIC.

"Orang bukan Islam memang akan tolak dan tak setuju. Perkara biasa orang atau parti bukan Islam tolak perlembagaan Islam dan hudud...malah yang Islam pun ada yang menentang.

"Sebahagian besar mereka tak setuju kerana kejahilan, tak faham atau tak tahu...kita harus beritahu mereka.

"Dalam hal ini PAS tidak pernah berdiam diri kerana kerjasama kita bukan sahaja dalam politik tetapi juga menjelaskan dasar dan prinsip Islam kepada mereka secara formal atau tidak formal," katanya.

Dalam pada itu ahli politik veteran ini berkata Majlis Fatwa juga harus berbincang dengan mufti berhubung istilah 'kafir harbi'.

"Istilah kafir harbi ini perlu diperbetulkan.

"Kalau dalam pergaulan mereka (DAP) tidak melawan atau memerangi Islam, mereka bukan golongan kafir harbi yang boleh membawa kemudaratan dalam kedudukan Islam," katanya.

Pengerusi DAP, Karpal Singh sebelum ini berkeras supaya PAS menggugurkan niat untuk merombak perlembagaan negara ke arah mewujudkan perlembagaan Islam kerana perlembagaan sekarang sudah kukuh.

Walau berbeza pendapat, PAS menyatakan pendirian untuk terus berkerjasama dengan DAP dalam PR.

Artikel Lain