suria

Polis Rampas Revolver, Tahan Empat Lelaki Samun Premis Internet

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki disyaki aktif merompak premis internet bersenjatakan pistol Revolver .38 Special sejak enam bulan lepas, ditahan dan senjatanya dirampas dalam satu serbuan di sebuah rumah di Wangsa Maju, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah berkata susulan itu, polis menahan secara berasingan tiga lagi rakan suspek berusia antara 21 hingga 41 tahun dipercayai bersubahat melakukan samun di sekitar Wangsa Maju dan Sentul, pada 7.30 malam pada hari sama.

"Pistol tersebut dirampas daripada seorang lelaki yang ditahan di sebuah rumah di Wangsa Maju diikuti penahanan seorang rakan suspek di Jalan Kuching dan dua lagi di Jalan Pahang," katanya.

Bercakap kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPK KL) di sini, hari ini, Ku berkata siasatan mendapati pistol itu telah digunakan suspek bagi menyamun sembilan premis internet sebelum ini.

Beliau berkata dua daripada suspek disahkan terlibat dalam satu kes ragut melibatkan pemandu peribadi seorang doktor yang nyaris maut akibat ditembak dalam kejadian berdekatan sebuah klinik di Wangsa Maju, awal tahun ini.

"Semua suspek diberkas hasil risikan selama seminggu selepas geng itu menyamun seorang wanita dan melepaskan empat das tembakan rambang di Wangsa Maju minggu lepas," kata Ku.

Sementara itu, polis terpaksa melepaskan beberapa das tembakan terhadap sekumpulan lelaki ketika cuba menyamun seorang lelaki di hadapan sebuah restoran di Jalan Langkawi dekat Jalan Genting Klang di sini pagi tadi.

Ku berkata dalam kejadian sekitar 5 pagi itu, kumpulan penyamun seramai enam orang itu memecah cermin kenderaan dan memukul kepala mangsa sebelum tindakan itu dilihat anggota polis yang sedang melakukan rondaan cegah jenayah.

"Polis cuba menahan suspek tetapi bilangan mereka yang ramai menyebabkan tembakan terpaksa dilepaskan, namun tidak diketahui sama ada ia terkena kumpulan itu atau tidak kerana mereka sempat melarikan diri," katanya.

Beliau meminta klinik atau hospital yang menerima pesakit yang mahu mendapatkan rawatan akibat ditembak supaya melaporkannya kepada balai polis berhampiran. -BERNAMA

Artikel Lain