suria

Penyebaran Maklumat Sekatan Jalan Raya Bukan Fatkor Kegagalan Operasi - Polis

KUALA LUMPUR: Penyebaran maklumat di kalangan pengguna laman sosial 'Twitter' berhubung sekatan jalan raya bukan faktor utama kegagalan polis ketika menjalankan operasi itu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata walaupun maklumat tentang sesuatu sekatan jalan raya itu 'dibocorkan' pengguna laman sosial itu, ia bukanlah perkara yang perlu dibimbangkan.

"Saya tidak memandang isu ini (kebocoran maklumat) secara negatif kerana di Australia, maklumat mengenai sekatan jalan raya dihebahkan berulang kali menerusi radio beserta lokasi sekatan," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Beliau berkata penyebaran maklumat itu bukan hanya dapat membantu orang awam untuk mengetahui lokasi sekatan jalan raya yang dibuat malah membuktikan kehadiran anggota polis menjalankan tugas.

Ku berkata sekatan jalan raya bukan bertujuan menangkap individu sebaliknya bagi mendidik dan mencegah pemandu daripada melakukan kesalahan jalan raya termasuk memandu secara merbahaya.

Bagaimanapun, beliau mengakui penyebaran maklumat itu boleh memberikan kesan negatif kerana tindakan berkenaan boleh menjejas tugas polis mengesan penjenayah menerusi sekatan jalan raya dan lebih ramai pesalah jalan raya akan melarikan diri. -BERNAMA

Artikel Lain