suria

Penerbitan Buku Di Msia Masih Rendah

SHAH ALAM: Statistik Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati hanya 17,923 judul buku diterbitkan pada tahun lepas, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Raslin Abu Bakar. Daripada jumlah itu, hanya 390 judul buku dalam bidang ekonomi.

"Jumlah penerbitan buku sememangnya masih kecil. Justeru sama ada agensi kerajaan, swasta, NGO (badan bukan kerajaan) dan persatuan berkaitan dengan bidang penerbitan perlu memberi perhatian dan bertindak segera," katanya ketika merasmikan Program Bicara Penulis Siri II/2012 di Management & Science University (MSU) di sini.

Raslin berkata kerajaan sentiasa memberi galakan dan insentif kepada golongan penulis, seperti anugerah dan pengiktirafan serta pemberian dana berjumlah RM2 juta setahun untuk membantu penulis menerbitkan sendiri buku mereka.

Dana itu diberi kerajaan melalui Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan Buku Malaysia.

Program Bicara Penulis Siri II/2012 bertemakan 'Membudayakan Penulisan Bahasa Melayu dalam Bidang Keusahawan/Ekonomi' itu adalah antara 15 program utama pembudayaan bahasa Melayu dan tulisan Jawi, oleh PNM tahun ini.

Ia bertujuan menggalakkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat sejajar dengan peranan PNM seperti termaktub dalam Akta Perpustakaan Negara 1972. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain