suria

Biasiswa BNYES Tanda Perubahan Model Politik BN - Khairy

KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) pada Khamis sekali lagi menawarkan biasiswa kepada pelajar yang layak melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) melalui program Biasiswa Pendidikan Pemuda BN (BNYES).

Pengerusinya, Khairy Jamaluddin berkata, jumlah tawaran biasiswa yang meningkat pada tahun ini berbanding tahun lepas menandakan wujudnya satu 'perubahan wajah' dalam model politik masa kini.

"Kalau dulu orang kata penyelesaian masalah serahkan sahaja kepada kerajaan. Tapi dalam politik model baru Pergerakan Pemuda...kita yang cari penyelesaian kepada masalah (belia).

"Menerusi Biasiswa BNYES kita bagi peluang kepada pelajar melangkah masuk ke pusat pengajian tinggi swasta tanpa perlu membayar yuran," katanya pada satu sidang media selepas menyampaikan surat tawaran biasiswa kepada penerima biasiswa BNYES yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dekat sini.

Tawaran biasiswa kali ini menyaksikan seramai 54 pelajar dari seluruh negara menerima biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di enam IPTS berbanding lapan penerima pada tahun lepas.

Menurut Khairy, pihaknya akan sentiasa melakukan perubahan dengan memperkenalkan program-program baru khususnya kepada golongan belia bagi meningkatkan taraf pendidikan mereka.

Menyifatkan penganugerahan biasiswa BNYES merupakan pencapaian paling membanggakan, beliau berkata akan terus menggiatkan usaha menjalinkan lebih banyak kerjasama dengan IPTS.

"Kita baru sahaja dapat persetujuan daripada Universiti Tun Abdul Razak yang akan menawarkan 40 biasiswa dalam pelbagai bidang melalui yayasan mereka.

"Ini menampakkan perkembangan program BNYES dan penglibatan IPTS yang semakin bertambah," katanya yang berhasrat menjadikan BNYES sebagai program biasiswa IPTS terbesar dan dikenali sebagai pilihan utama pelajar.

Khairy turut mengumumkan nilai tajaan biasiswa pada tahun ini yang berjumlah RM1.3 juta.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, selain BNYES, penganjuran program seperti karnival pekerjaan dan ekspo perumahan oleh Pemuda juga menunjukkan perbezaan politik BN dengan pembangkang.

"Kita buat banyak perkara baru yang ada impak kepada remaja. Selama ini Pemuda lebih dilihat sebagai pendesak...tapi saya sudah ubah modelnya lebih kepada penyelesai masalah.

"Pembangkang kata mereka tak ada kuasa (tawar biasiswa), Pemuda pun tak ada apa...tak minta dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) tapi kita berjaya selesaikan masalah belia," tegasnya.

Khairy berkata, jawatankuasa pemilihan menerima kira-kira 600 permohonan pada tahun ini serta menawarkan biasiswa untuk kursus jangka panjang dan jangka pendek.

Jelas beliau, Pemuda BN hanya membuat pemilihan berdasarkan kedudukan sosio ekonomi pemohon dan IPTS terlibat menilai kelayakan akademik mereka.

Artikel Lain