suria

Kad Kredit Hilang, Operator Kilang Tanggung Hutang Lebih RM4,000

GEORGE TOWN: Seorang operator kilang percetakan terpaksa menanggung hutang sebanyak RM4,122.80 apabila kad kredit miliknya hilang dan disalah guna oleh individu lain pada 27 April lepas.

Mangsa, Wong Joo Haur, 42 berkata sebanyak tiga transaksi pembayaran dibuat individu terbabit dalam tempoh sehari melibatkan pembelian dua unit i-phone dan aiskrim jenama terkenal di pusat beli belah Queensbay.

"Saya hanya sedar kad kredit saya hilang apabila menerima penyata urus niaga dari pihak bank pada akhir Mei lepas yang mencatatkan perbelanjaan yang tidak pernah saya lakukan sepanjang tarikh itu," katanya kepada pemberita di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, Rabu.

Beliau kesal dengan sikap jurujual telefon yang sewenang-wenang meluluskan transaksi itu tanpa meminta kad pengenalan pembeli terbabit terlebih dahulu.

"Hasil siasatan juga mendapati tandatangan pada resit penerimaan telefon dan pembayaran salah satu daripada i-phone itu berlainan sama sekali...mereka (jurujual) sepatutnya lebih prihatin," katanya.

Wong juga merayu pihak bank supaya melupuskan hutang itu susulan transaksi yang mencurigakan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Biro Pengaduan Awam MCA Pulau Pinang, Lim Thoon Deong berkata dua laporan polis dibuat bagi menyelesaikan masalah itu.

Lim berkata beliau juga berunding dengan pegawai daripada unit aduan bank berkenaan dan menurut pegawai itu, tuntutan Wong sukar dipenuhi kerana pihaknya hanya menerima aduan selepas sebulan insiden itu berlaku.

"Bagaimanapun, pegawai itu sudi mempertimbang semula permohonan Wong setelah mendapat bukti mencukupi seperti rakaman litar tertutup (cctv) dan maklumat suspek daripada pihak polis," katanya. Beliau berkata sepanjang tahun ini, biro itu menerima 17 kes seumpamanya membabitkan kerugian jutaan ringgit.

Katanya peratusan penyelesaian kes amat rendah dan beliau mendesak supaya Bank Negara dapat campur tangan bagi membantu Wong. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain