suria

Penganggur Hadapi Tuduhan Bunuh Pemilik Butik

SUNGAI PETANI: Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sungai Petani, atas tuduhan membunuh seorang usahawan wanita di sini, pada 19 Jun lepas.

Thines Sathasiwam, 22, dari Taman Sinar Mentari, Sungai Lalang di sini, dituduh membunuh pemilik butik perkahwinan, Revathy Mariemuthoo, 23, pada pukul 11.30 malam, 19 Jun lepas di kawasan ladang kelapa sawit, Jalan Mahkamah, Amanjaya, di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman mati jika sabit kesalahan. Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Majistret Mohd Khairul Hafizuddin Ramli.

Mohd Khairul menetapkan 29 Julai ini untuk sebutan semula kes bagi menunggu keputusan bedah siasat dan laporan Jabatan Kimia.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Syaiful Akmal Mohd Razi mengendalikan kes itu.

Mayat pemilik butik perkahwinan Rakshata Bridal House di Taman Ria itu ditemui orang ramai di dalam longkang berdekatan Kompleks Mahkamah Sungai Petani kira-kira 7.30 pagi, 20 Jun lepas. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain