suria

Polis Tahan Lapan Penyamun Termasuk Tiga Wanita Dan Anggota Tentera

NIBONG TEBAL: Polis menahan lapan orang termasuk seorang anggota tentera yang dipercayai aktif menjalankan kegiatan samun di Pulau Pinang, Selangor dan Johor.

Pemangku Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Abdul Rahim Jaafar berkata mereka ditahan dalam satu operasi khas minggu lepas selepas melakukan samun terhadap tiga lelaki warga Bangladesh di Taman Jawi Ria, di sini pada 26 Jun lepas.

"Hasil maklumat kes samun itu, anggota polis Balai Bergerak Sungai Bakap melancarkan 'Ops Kesan' dan mengekori sebuah jenis Honda Jazz yang dinaiki empat lelaki terbabit dan sedang menuju ke arah utara," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Seberang Perai Selatan (SPS), di sini, Isnin.

Katanya dengan bantuan anggota ronda bermotosikal dari Balai Polis Sungai Bakap dan Balai Polis Bukit Tengah, kereta Honda Jazz itu berjaya dikepung di kawasan Perkampungan Juru.

"Mereka cuba melarikan diri ke kawasan hutan dan seorang daripada mereka diberkas di tempat kejadian manakala dua lagi lelaki termasuk anggota tentera yang bertugas di Kem Sungai Petani, Kedah ditahan dalam kawasan perkampungan itu," katanya.

Abdul Rahim berkata setelah membuat pemeriksaan kenderaan Honda Jazz itu, polis dapati kereta berkenaan telah dilaporkan hilang di Klang, Selangor pada 28 April lepas.

Hasil siasatan susulan, pada hari yang sama polis berjaya menahan lima lagi anggota kumpulan penjenayah itu iaitu dua lelaki dan tiga wanita yang menginap dalam sebuah hotel di Taiping, Perak.

Abdul Rahim berkata kumpulan itu juga didapati aktif dalam samun bersenjata dan pecah rumah di Selangor dan Johor.

"Kesemua suspek berusia 19 hingga 27 tahun itu ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan samun berkumpulan," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain