suria

Isu Phaik Kheng: Lima ADUN DAP Keluar Sidang Dewan

MELAKA: Isteri Ketua Menteri Pulau Pinang Betty Chew Gek Cheng bersama empat lagi anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada DAP pada Selasa bertindak keluar daripada persidangan DUN Melaka berhubung isu seorang wanita yang dikaitkan dengan suaminya, Lim Guan Eng.

Betty yang juga ADUN Kota Laksamana bersama Goh Leong San (Kesidang); Khoo Poay Tiong (Ayer Keroh); Tey Kok Kiew (Banda Hilir) dan Lim Jak Wong (Bachang) bertindak demikian kerana membantah laporan dan penyiaran gambar di dalam akhbar pada Selasa berhubung isu berkenaan.

Sebelum sesi soal jawab bermula, Leong San yang memegang akhbar bangun dan bertanya kepada Speaker DUN Melaka Datuk Wira Othman Muhamad mengapa membenarkan media membuat laporan dan mengambil gambar di dalam sidang dewan berkenaan.

Othman kemudian memaklumkan bahawa perkara tersebut dibenarkan dalam semua sidang dewan dan Parlimen.

Kesemua ADUN berkenaan yang tidak berpuas hati kemudian bertindak keluar dari sidang dewan berkenaan.

Pada sesi penggulungan perbahasan usul membantah perhimpunan Bersih 3.0 dalam persidangan DUN Melaka pada Isnin, Datuk Gan Tian Loo (BN-Duyong) bertanya kepada Betty sama ada beliau mengenali Ng Phaik Kheng yang dikaitkan dengan Guan Eng, namun Betty enggan mengulas mengenai perkara itu.

Sementara itu, dalam sidang akhbar, Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata tindakan kesemua ADUN itu menunjukkan pembangkang tidak mengamalkan demokrasi, ketelusan dan bertanggungjawab.

Beliau berkata pihak pembangkang sepatutnya menjelaskan perkara yang dibangkitkan demi kepentingan rakyat.

"Kita tengok banyak kes-kes yang tak bersih di Pulau Pinang, kita pun nak tahu juga dalam sidang dewan.

"Tetapi dia tak nak jelaskan, dia keluar dewan, itu menunjukkan siapa makan cili dia terasa pedas...kalau dia tidak bersalah kenapa dia nak lari," katanya.

Katanya, pembangkang hanya tahu menuduh pemimpin Barisan Nasional (BN) dengan pelbagai tohmahan namun mengelak daripada menjawab isu yang timbul mengenai mereka. - BERNAMA

Artikel Lain