suria

Polis Tahan Wanita Dipercayai 'Bookie' Euro 2012 Di Port Dickson

PORT DICKSON: Polis menahan seorang wanita dipercayai 'bookie' perlawanan bola sepak Euro 2012 ketika sedang melakukan urusan perjudian haram di rumahnya di Bukit Pelandok, dekat sini, malam Ahad.

Jurucakap polis berkata ketika ditahan pada kira-kira pukul 10.15 malam, wanita berumur 29 tahun itu dikatakan sedang asyik menerima tempahan membabitkan perlawanan England menentang Itali yang berlangsung awal pagi ini.

"Ketika ditahan wanita itu juga dipercayai sedang mengutip wang pertaruhan daripada pelanggannya. Ketika serbuan, ibu bapa suspek dipercayai enggan memberikan kerjasama dan tidak memberitahu anak perempuannya berada di sebuah bilik dan sedang sibuk mengambil tempahan.

"Bagaimanapun, sebaik dipujuk polis, ibu suspek membuka gril rumah dan memberikan kerjasama.

Hasil pemeriksaan polis mendapati wanita tempatan berkenaan berada di bilik belakang dan sebaik bilik berkenaan dibuka, kelihatan seorang wanita sedang asyik menggunakan telefon dan mencatat sesuatu pada kertas putih pertaruhan," katanya.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM13,000, ssatu unit komputer riba, satu unit jalur lebar, dua telefon bimbit, kertas putih mengandungi catatan pertaruhan dan alat tulis.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson Supt Abd Wahab Harun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kes berkenaan dan suspek kini direman selama tiga hari bagi membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain