suria

MT Umno Bersidang Petang Jumaat Antara Lain Bincang Persiapan P/Raya

PETALING JAYA: Majlis Tertinggi (MT) Umno akan mengadakan mesyuarat esok (Jumaat) pada jam 3 petang yang antara lain akan turut membincangkan isu mengenai persiapan pilihan raya umum yang ke-13.

Mesyuarat yang akan diadakan di tingkat 39, Menara Datuk Onn itu akan dipengerusikan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

mStar Online difahamkan, pengerusi-pengerusi badan perhubungan Umno negeri dijadualkan untuk membentangkan persiapan bilik jentera pilihan raya masing-masing kepada MT dalam mesyuarat itu nanti.

Adalah difahamkan, Najib yang juga perdana menteri dan pengerusi Barisan Nasional (BN) telahpun berpeluang meneliti dua laporan senarai calon-calon Umno sebelum ini.

Laporan tersebut termasuklah senarai yang dikemukakan oleh Pergerakan Pemuda Umno, Wanita Umno dan juga Puteri Umno.

Terdapat beberapa nama yang telah dikemukakan telah pun diteliti dan ada di antaranya telah diminta supaya dikaji semula oleh pucuk pimpinan parti.

Setiap kerusi telah diminta diberi tiga nama oleh badan perhubungan Umno negeri.

Adalah difahamkan senarai nama-nama calon Umno antara lain akan disaring oleh tiga orang naib presiden sebelum diangkat kepada presiden parti.

mStar Online juga difahamkan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin antara lain telah diberikan tanggungjawab khas untuk menyemak dan menilai senarai calon yang dikemukakan oleh Pemuda, Wanita dan Puteri Umno.

Tarikh pilihan raya umum yang ke-13 masih lagi menjadi percakapan dan teka-teki masyarakat umum tetapi ramai yang menjangkakan bahawa ia mungkin akan dilangsungkan selepas pembentangan bajet dan sebelum jemaah haji berlepas ke tanah suci untuk mengerjakan ibadat haji.

Artikel Lain