suria

Akaun RM3b: PKR Dakwa Murad Diugut

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Rabu dikejutkan dengan pendedahan terbaru apabila bekas Penolong Gabenor Bank Negara Malaysia, Datuk Abdul Murad Khalid didakwa menerima ugutan berhubung kenyataannya membabitkan akaun sejumlah RM3 bilion milik Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mendedahkan secara ringkas, Datuk Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) mendakwa beliau menerima maklumat bahawa Abdul Murad didatangi pihak tertentu dan diberi amaran agar tidak membuat penafian berhubung kenyataan yang mengaitkan Anwar kira-kira 13 tahun lalu.

"Kita tahu dua tiga hari lepas Datuk Murad didatangi oleh agen untuk ugut beliau.

"Malah kita tahu nama pegawai berkenaan yang mengugut beliau (Abdul Murad) agar jangan sekali-kali buat kenyataan penafian...kita tahu beliau diugut," katanya ketika mencelah pada sesi perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan (2012) di sini.

Kira-kira 13 tahun lalu, Abdul Murad dilaporkan mendakwa Anwar mengawal sebanyak 20 akaun induk membabitkan aset, saham dan wang yang keseluruhannya bernilai lebih RM3 bilion.

Bagaimanapun bekas Pengarah Siasatan Badan Pencegah Rasuah (BPR), Abdul Razak Idris menerusi akuan bersumpahnya pada 10 November 2009 menjelaskan siasatan bagi kes berkenaan ditutup kerana tiada kes.

Dakwaan Saifuddin ini timbul dua hari selepas Abdul Murad mengeluarkan kenyataan rasmi pada Isnin lalu bahawa beliau bersedia memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa, jika dikehendaki, berhubung dengan pengendalian akaun-akaun sejumlah RM3 bilion yang beliau percaya melibatkan Anwar.

Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan tersebut malah mencabar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar menjalankan siasatan semula bagi kes berkenaan.

Artikel Berikut

Artikel Lain