suria

Suruhanjaya Integriti Terima Paling Banyak Aduan Libatkan PDRM

SHAH ALAM: Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (Suruhanjaya Integriti) menerima 171 aduan salah laku pegawai dan agensi penguatkuasaan sejak ditubuhkan April tahun lepas sehingga pertengahan bulan ini dengan majoritinya melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nor Afizah Hanum Mokhtar berkata daripada jumlah itu, 120 aduan membabitkan anggota dan pegawai polis manakala bakinya melibatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Beliau berkata turut tersenarai dalam aduan yang diterima suruhanjaya itu ialah melibatkan Jabatan Imigresen dan Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela).

"Kuala Lumpur dan Selangor mencatatkan jumlah aduan tertinggi iaitu masing-masing 50 dan 34 aduan diikuti Pulau Pinang dengan 19 aduan," katanya kepada pemberita selepas Sesi Dialog Suruhanjaya Integriti dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi penguatkuasaan Selangor di sini, Selasa.

Turut hadir sebagai panel dalam sesi dialog yang dipengerusikan Nor Afizah, ialah Pengerusi Suruhanjaya Integriti Datuk Helilah Mohd Yusof serta dua Pesuruhjaya suruhanjaya itu, Tan Sri Dr Zulkefli A Hassan dan Datuk Salehuddin Saidin.

Nor Afizah berkata selepas menjalankan siasatan terhadap setiap aduan, kes itu disalur kepada badan-badan tertentu mengikut kes seperti kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Peguam Negara dan Pihak Berkuasa Tata Tertib agensi-agensi berkaitan untuk tindakan lanjut.

Suruhanjaya itu ditubuhkan pada 1 April 2011 melalui Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009 (Akta 700) bagi menerima aduan dan menyiasat salah laku pegawai penguatkuasa atau agensi penguatkuasaan.

Antara agensi di bawah seliaan suruhanjaya itu termasuk PDRM, Jabatan Imigresen, KDRM, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Rela, Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Perikanan, Jabatan Tenaga Kerja dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan.

Penubuhan suruhanjaya itu bertujuan mempertingkatkan integriti dalam kalangan agensi penguatkuasaan, mengurangkan serta membanteras salah laku pegawai penguatkuasa dan memupuk keyakinan orang ramai terhadap agensi penguatkuasaan Persekutuan.

Sementara itu, Helilah berkata suruhanjaya berkenaan merupakan satu platform yang disediakan kepada semua pihak termasuk individu membuat laporan sekiranya menghadapi masalah dengan anggota penguatkuasa yang tidak menjalankan tugas dengan amanah.

"Laporkan kepada kami dengan maklumat yang lengkap dan kita akan siasat tanpa mengira siapa pun dan siasatan dijalankan dengan telus selain maklumat pengadu tidak akan didedahkan. Suruhanjaya ini bukan untuk menghukum sesiapa tetapi untuk memastikan integriti dapat ditegakkan," katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh membuat aduan dengan menghubungi suruhanjaya itu di talian 03-48881904 atau layari laman web www.eaic.gov.my. - BERNAMA

Artikel Lain