suria

Skim Pencen Sektor Swasta Perlu Untuk Tangani Kemiskinan - Dr Subramaniam

KUALA LUMPUR: Satu skim pencen sepanjang hayat untuk pekerja sektor swasta perlu diwujudkan untuk menangani kemiskinan di kalangan pesara, kata Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam.

Dr Subramaniam berkata, ramai rakyat Malaysia yang sudah tua hidup dalam kemiskinan, terutamanya mereka yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah, kerana simpanan KWSP mereka tidak mencukupi untuk bertahan untuk kehidupan selepas bersara.

"Perlu ada beberapa jenis sistem yang menyediakan pencen sepanjang hayat bagi warga tua kerana kemiskinan di kalangan warga tua adalah masalah yang semakin meningkat," kata Dr Subramaniam selepas melancarkan seminar Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) seminar di sini, Isnin.

"Dengan jangka hayat rakyat Malaysia yang lebih lama berbanding beberapa tahun ke belakangan ini, kita dapati bahawa simpanan KWSP tidak mencukupi bagi sesetengah orang.

"Saya penyokong kuat sistem pencen seumur hidup kerana ia memberi jaminan kepada warga tua dan membantu meringankan beban orang ramai di usia tua," katanya.

Beliau berkata, pencarum KWSP daripada golongan berpendapatan rendah akan hanya menerima kira-kira RM50,000 apabila bersara dan selepas tiga atau lima tahun wang tersebut akan habis.

Dr Subramaniam berkata, bagaimanapun skim yang dicadangkan masih di peringkat perbincangan dan maklum balas perlu dikumpul daripada semua pihak termasuk daripada rakyat Malaysia.

'Ini adalah satu isu sebenarnya. Kita perlu berbincang mengenai cara untuk menyelesaikan perkara ini. Saya yakin ia sepatutnya menjadi keputusan yang dibuat oleh sesiapa saja termasuk orang awam," katanya.

Sementara itu, mengulas dakwaan pencarum hanya boleh mengeluarkan caruman penuh apabila berusia 60 tahun selepas lanjutan umur persaraan sektor swasta, Dr Subramaniam berkata, tiada keputusan telah dibuat.

"Mungkin sebelum Rang Undang-Undang Persaraan Minimum 2012 dibentangkan untuk bacaan kali kedua, KWSP dan pihak kementerian akan berbincang mengenai isu ini. Kita harap kata putus boleh dicapai," katanya.

Artikel Lain